Tuesday, March 21, 2017

Shakilla Khoriri, Fizi (Suria FM) Bertunang Julai Depan



Shakilla Khoriri enggan menjaja kisah cintanya di media sosial bagi mengelak berlakunya fitnah. 
AMPANG: Selepas empat tahun bercinta, pelakon Shakilla Khoriri dan penyampai radio Suria FM, Fizi Ali merancang untuk mengikat tali pertunangan pada Julai depan.
Menurut Shakilla, 28, keputusan untuk bertunang dibuat selepas Fizi menghantar rombongan merisik pada awal Februari lalu.
"Ramai yang ingat saya akan kahwin Julai ini, tapi sebenarnya kami masih belum bertunang pun.
"Ikut perancangan, selepas tiga atau empat bulan bertunang barulah kami akan berkahwin. Maknanya sekitar November atau Disember depan. Tapi insyaAllah dalam tahun ini juga," katanya.

Shakilla Khoriri bersama Fizi Ali. 
Shakilla atau Nur Shakilla Mohamad Khoriri ditemui pada majlis sidang media drama bersiri Sape Dari Itali pada Isnin.
Sape Dari Itali terbitan Bright Network Sdn Bhd akan mula ditayangkan pada 23 Mac ini menerusi slot Selekta Prima di TV2.
Bercerita mengenai hubungannya dengan Fizi, Shakilla berkata dia memilih untuk tidak menghebohkan kisah cinta mereka secara terbuka khususnya di media sosial.
Jelas Shakilla, dia lebih berhati-hati berkongsi gambar mereka bersama bagi mengelak timbulnya fitnah selagi belum sah menjadi pasangan suami isteri.
"Saya tak suka jaja kisah cinta, saya tak mahu orang muak tengok gambar kami bersama sedangkan belum ada ikatan yang sah.
"Dalam ramai pengikut Instagram saya, pasti ada yang tak suka saya jaja hubungan cinta. Jadi lebih baik saya elak daripada timbulnya prasangka buruk," katanya.
Fizi atau nama sebenarnya Muhd Hafizudin Alimudin, 28, mula berkhidmat di Suria FM pada Julai tahun lalu dan bergandingan bersama Zulin Aziz serta Halim Othman menerusi segmen Ceria Pagi Suria.

Dia sebelum itu adalah penyampai di Ultra FM selama dua tahun sebelum stesen itu ditutup pada 2015.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: