Saturday, March 25, 2017

Fazley Tidak Menyangka Buku Resipinya Diiktiraf Antarabangsa



Fazley menunjukkan buku resipinya, My Sucre Story.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Fazley Yaacob tidak menyangka buku masakan tulisan pertamanya iaitu My Sucre Story mendapat pengiktirafan antarabangsa di World Gourmand Book Fair yang diadakan di Yantai, China pada tahun lalu.
Fazley berkata pada acara yang disertai oleh penulis dari seluruh dunia itu beliau memenangi tempat pertama menerusi kategori Buku Resepi Terbaik oleh Personaliti TV dan kemenangan itu menaikkan semangatnya untuk terus menghasilkan buku masakan pada masa hadapan.
"Saya secara jujurnya memang langsung tidak menyangka akan menang kerana masih baharu dalam bidang penulisan buku masakan.
"Apabila pihak penerbit beritahu mereka hantar pencalonan saya berasa segan kerana saya sedar pertandingan itu turut mempertandingkan penulis-penulis lebih hebat dan berpengalaman.
"Namun saya bersyukur dan kemenangan itu dapat menjadi pemangkin semangat untuk saya menghasilkan buku masakan lebih baik pada masa hadapan," katanya.

Fazley ditemui pada majlis pelancaran buku itu yang diadakan di restoran miliknya iaitu Suka Sucre Bistro yang terletak di Taman Pertama, Cheras di sini, Khamis.
Buku itu boleh di dapati di rangkaian kedai buku MPH seluruh Malaysia dan Singapura.
Fazley juga merupakan pemenang Cef Selebriti Pilihan Online, Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) anjuran mStar pada bulan April tahun lalu.
Dalam pada itu, Fazley berkata, dia terkilan tidak dapat berkongsi kegembiraan bersama bapanya, Allahyarham Datuk Yaakob Mohammad kerana arwah adalah insan yang banyak menyokongnya untuk menceburi bidang kulinari.
Malah katanya, Yaakob insan bertanggungjawab yang membuatkan dia berani menghasilkan buku masakan pertamanya itu.
"Jika tidak kerana nasihat dan dorongannya mungkin buku ini tidak akan berhasil sebab itu saya berasa sedih apabila arwah tidak sempat meraikan kegembiraan ini.
"Allahyarham sempat menyaksikan pelancaran buku ini di Paris pada 2015 dan pemergiannya tahun lalu membuatkan saya sangat terkesan.
"Selepas setahun pemergiannya baru saya ada kekuatan dan keberanian untuk mengadakan pelancaran ini di Kuala Lumpur," katanya.
Fazley bersama ibunya Datin Umi Kalsom Abdol Latib. 
Selain kemenangan di APO2016 dan World Gourmand Book Fair, restorannya turut mendapat sembilan trofi termasuk Restoran Terbaik di Kuala Lumpur pada Malaysia International Gastronomy Festival 2016.
Namanya juga diumumkan sebagai penerima anugerah Usahawan Muda Paling Berpengaruh di Malaysia oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Dalam perkembangan lain, Fazley berkata dia sudah pun menyiapkan album terbaharunya yang mengandungi 10 buah lagu dan akan dipasarkan tidak lama lagi.
Kata Fazley, kemunculan album itu nanti sebagai bukti dia tidak pernah meninggalkan nyanyian walaupun kini dilihat lebih memberi tumpuan kepada bidang kulinari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: