KEMAMAN - Sebutir lagi bom lama yang telah berkarat tetapi masih aktif dijumpai di ladang sawit Felda Neram 1, di sini, pagi tadi selepas penemuan empat biji bom di kawasan itu pada 12 Mac lalu.

Bom berbentuk silinder itu ditemui dalam keadaan separuh tertanam di dalam tanah oleh pemilik ladang sawit itu ketika sedang membersihkan kawasan ladangnya kira-kira jam 9 pagi.
Komander Unit Pemusnahan  Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Asisten Superintendan Amin Sidek berkata, pemilik ladang berusia lingkungan 60-an itu kemudian bertindak melaporkan penemuan itu kepada Pejabat Felda Neram 1 sebelum ia dilaporkan kepada pihak polis.
Katanya, selepas menerima laporan daripada Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah  (IPD) Kemaman pada jam 11 pagi, Unit Pemusnahan Bom IPK segera bergegas ke lokasi kejadian.
"Ketika tiba kita dapati keadaan bom separuh tertanam dalam tanah dan jarak bom ini kira-kira lima kilometer daripada penemuan empat biji bom lama pada 12 Mac lepas.
"Bom yang ditemui ini dipercayai dilancarkan menggunakan pesawat," katanya ketika ditemui selepas selesai proses pemusnahan bom terbabit.
Proses pemusnahan bom berkenaan dijalankan pada jam 2 petang dan selesai sepenuhnya pada jam 2.30 petang, sebentar tadi.
Operasi pemusnahan itu melibatkan seramai tujuh pegawai dan anggota daripada IPK Terengganu dan IPD Kemaman.
Amin berkata, kerja-kerja pemusnahan itu berjalan lancar tanpa melibatkan sebarang kerosakan dan kemalangan jiwa.
Berikutan itu beliau turut mengingatkan orang agar tidak menyentuh atau mengalih jika terjumpa sebarang objek mencurigakan serta perlu segera menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.