ALOR SETAR - Jikalau Jepun terkenal dengan bunga Sakura, Korea (Cherry Blossom), Belanda (Tulip) dan Banglore (Ros), namun negeri Jelapang Padi, Kedah tidak kurang hebatnya.
Pokok tekoma atau lebih dikenali sebagai Sakura Kedah yang menghiasi beberapa laluan di bandar utama di Kedah seolah-olah menjadi identiti Bandaraya Alor Setar.
Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa laluan seperti Jalan Langgar, Jalan Sultan Baldishah, Jalan Stadium dan Jalan Kuala Kedah mula menghasilkan bunga.
Sejak minggu lepas, keindahan panorama Kedah khususnya Bandaraya Alor Setar, tidak ubah bagaikan dalam drama Jepun dan Korea dengan bunga berkembang mekar.
Lebih indah, bunga berwarna merah jambu dan putih yang gugur menutupi laluan seakan-akan permaidani membuatkan suasana seakan berada di negara Matahari Terbit, Jepun.
Musim bunga Kedah seakan-akan menjadi fenomena dengan suasana bunga berkembang mekar yang memukau dan menarik perhatian ramai yang berkunjung ke kawasan demi merakamkan detik bersejarah.
Seperti berada di Jepun, Korea
Menurut Nur Aliya Hamid, 26, impiannya mahu ke Jepun ataupun Korea semata-mata merasai suasana musim bunga sejak dari kecil menjadi kenyataan.
“Impian menyaksikan keindahan bunga seolah-olah menjadi kenyataan apabila berpeluang menyaksikan pemandangan itu di tempat kelahiran sendiri iaitu Alor Setar.
“Jikalau dahulu, saya mampu menyaksikan suasana musim bunga berguguran di televisyen, tetapi ia sudah ada di depan mata untuk saya saksikan sendiri,” katanya.
Katanya, dia bersyukur kerana berpeluang menyaksikan keindahan bunga yang hanya berlaku setahun sekali, malah merasakan tidak perlu lagi ke luar negara semata-mata menikmati musim bunga itu.
Nur Aliya berkata, dia sememangnya ternanti-nanti kehadiran musim bunga yang berkembang pada Mac dan April itu pada setiap tahun.
Sementara itu, Yusniza Hamid, 40, berkata, dia juga tidak melepaskan peluang merasai sendiri pengalaman melihat keindahan musim bunga ini.
Ibu anak dua itu berkata, dia terpukau melihat bunga mekar menghiasi laluan ke kediamannya di Jalan Kuala Kedah, di sini.
Kata suri rumah itu lagi, pengalaman seolah-olah berada di luar negara yang hanya boleh dirasai setahun sekali itu sememangnya unik dan tidak dapat dilupakan.
Fenomena setahun sekali
Menurut Ketua Bahagian Landskap dan Rekreasi Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Mohd Faizal Abu Bakar berkata, fenomena bunga berkembang mekar itu hanya berlaku pada Mac sehingga awal April setiap tahun.
Kata Faizal, setakat ini, kira-kira 866 pokok tekoma ditanam mereka di sekitar laluan utama di Bandaraya Alor Setar telah berbunga.
“Berdasarkan pemerhatian, Jalan Kuala Kedah merupakan laluan terbanyak bunga tekoma berkembang, iaitu 369 pokok, diikuti Jalan Kepala Batas (190) dan Jalan Sultanah Bahiyah (134).
"Antara laluan lain dihiasi pokok tekoma ialah Jalan Langgar dengan 114 pokok, Jalan Anak Bukit (38), Jalan Gangsa (34), Lebuhraya Darulaman (31), Jalan Putra (21), Jalan Sultan Badlishah (16), Jalan Sultan Muhammad Jiwa (12) dan Jalan Kilang Tebu (7).
Menurutnya lagi, pihak MBAS turut memulakan aktiviti menanam anak pokok tekoma di beberapa kawasan lain dalam usaha merealisasikan impian mewujudkan Bandar Dalam Taman.
"Kira-kira 100 anak pokok tekoma ditanam di Taman Awam Peremba dalam usaha mencantikkan kawasan berkenaan dengan tumbuhan.
"Orang ramai dapat menyaksikan lebih banyak keindahan bunga seakan-akan sakura apabila pokok baru ditanam mula menghasilkan bunga antara tujuh hingga lapan tahun lagi," katanya yang berharap orang ramai mengambil peluang menikmati keadaan ini sekarang.
Katanya, bunga tekoma berkembang amat mekar pada 2015 sehingga hanya kelihatan bunga semata-mata tanpa daun berikutan cuaca panas mencecah 38 darjah selsius.
Menurutnya lagi, keadaan suhu panas musim kemarau sememangnya mempengaruhi bunga tekoma untuk berkembang penuh dan ketahanannya sebelum gugur
.