JOHOR BAHRU - Setiap rakyat mesti bersatu hati dan mengamalkan budaya hidup berdisiplin serta patuh kepada peraturan dan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan.
Kesemua itu dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk mewujudkan sebuah negeri yang maju dan makmur.
"Contohnya, apabila kerajaan memperluaskan kawasan Majlis Daerah atau Perbandaran, sudah pasti setiap premis atau bangunan akan dikenakan cukai harta bagi menampung kos perkhidmatan dan penyelenggaraan kemudahan awam di kawasan berkenaan.
"Malangnya, ada juga pihak yang mempertikaikan tindakan tersebut dan tidak mahu menghormati keputusan kerajaan, malah menjadikannya sebagai isu politik," titahnya pada Majlis Istiadat Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor 2017 di Istana Besar Johor, di sini, hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah, golongan tidak bertanggungjawab itu hanya mementingkan diri sendiri.
"Dia boleh membayar ansuran kereta dan bil telefon setiap bulan yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan bayaran cukai harta dua kali setahun.
"Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat supaya menghargai perkhidmatan yang kerajaan berikan. 'Jangan Gigit Tangan Yang Memberi Makan'," titahnya.
Menurut baginda, setiap rakyat haruslah mengamalkan sikap sederhana, bertolak ansur dan sanggup berkongsi tanggungjawab, bukannya bersikap sombong dan hanya mementingkan diri sendiri.
"Semangat Muafakat Bangsa Johor mestilah diperkukuhkan bagi membentuk sebuah masyarakat yang hidup bersatu padu walaupun berlainan kaum, keturunan dan agama," titahnya.
Dalam titah yang sama, Sultan Johor mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana telah berjaya mengekalkan kemajuan ekonomi dan kestabilan sosial masyarakat di negeri ini.
"Saya percaya segala kejayaan yang telah dicapai adalah hasil usaha semua pemimpin dan anggota perkhidmatan awam yang bersungguh-sungguh memikul tanggungjawab serta disokong oleh masyarakat yang hidup bersatu padu dan bermuafakat.
"Walau apa juga rintingan atau masalah yang timbul, janganlah kita mengalah atau patah semangat. Carilah punca dan penyelesainya. Bak kata pepatah kusut di hujung, balik ke pangkal," titahnya.
Selain itu, Sultan Ibrahim juga mengucapkan tahniah kepada semua penerima Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Johor pada tahun ini.
Sultan Ibrahim turut mengajak untuk berdoa agar negeri ini, akan terus maju, membangun, aman dan makmur, dengan rakyat yang hidup bersatu padu dan bermuafakat serta dilindungi daripada segala bala bencana yang tidak diingini.