BANDARAYA MELAKA - Sebuah kubur lama dipercayai berusia lebih 200 tahun di Kampung Hailam, Tanjung Kling di sini, akan dipindahkan setelah mendapat kebenaran Jabatan Mufti negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Kling, Khairulazni Baharuddin berkata, pihaknya juga akan memohon keizinan pemilik tanah terlebih dahulu bagi memindahkan kubur lama itu yang tertera ukiran ‘Makam Nik Dayang’.
Menurut Khairulazni, isu timbul setelah kubur tersebut terbiar dan mula menjadi tempat aktiviti kepercayaan khurafat apabila wujud amalan pemujaan di situ ekoran berpindahnya penduduk di Kampung Hailam sejak awal Mac lalu.
“Kampung Hailam sebenarnya diduduki penduduk etnik Hainam yang sudah diarahkan berpindah oleh pemilik tanah. Jadi bila kosongnya tempat ini, kami khuatir makam ini akan terbiar begitu sahaja, bahkan mula menjadi kebimbangan penduduk apabila menjadi pusat pemujaan.
“Justeru, kita sedang berbincang dengan Jabatan Mufti mendapatkan pandangan adakah perlu kubur lama ini dialihkan supaya tidak timbul masalah kemudian hari dan harapan kita ia dapat dipindahkan sebelum Ramadan ini,” katanya.
Beliau ditemui ketika menyertai bersama Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Jabatan Mufti negeri, Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) melakukan lawatan ke atas kubur tersebut di Kampung Hailam, Tanjung Kling di sini, semalam.
Turut sama, Pegawai dari Unit Konservasi Perzim, Abdul Jamil Zainal; Pegawai Agama Jabatan Mufti negeri, Zulkifly Yaakop dan Penghulu Dun Pantai Kundur, Ali Hassan Shamsudin.
Mengenai kewujudan kubur lama itu, Khairulazni berkata, pihaknya tidak dapat memastikan secara jelas asal usulnya.
“Generasi pertama yang ada sudah uzur dan jelas ingatannya namun mengikut generasi kedua iaitu anak mereka memaklumkan melalui perbualan dengan bapanya sebelum ini, kubur ini sudah ada sejak mereka datang berhijrah dari Pulau Hainan, China ke sini pada 1905.
“Mereka dirikan kediaman tanpa mengusik kuburan ini pada 1934 dan kemudian ada pihak yang membina struktur bangunan pada kubur ini namun tidak dapat dipastikan siapa yang membinanya,” katanya.
Menurutnya, pihak JKKK juga ada menjalankan usaha menjejaki waris kuburan terbabit namun sehingga hari ini tiada individu yang tampil namun yakin kubur terbabit memang kubur orang Islam berdasarkan kedudukannya menghadap kiblat.
Tambahnya, ada pihak yang mendakwa kubur berkenaan sebagai tempat penyimpanan harta karun namun sukar untuk dipastikan kesahihannya.
“Kita tidak pasti adakah kawasan ini sebagai menjadi tempat penyimpanan harta karun atau tidak tetapi yang kita tahu ia adalah sebuah kubur lama yang wajar kita ambil perhatian berat supaya tidak wujud unsur pemujaan dan khurafat.
“Kita juga mencadangkan agar kubur ini dipindahkan di makam Hang Tuah yang terletak di kawasan berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas ketika dihubungi berkata, pihaknya akur apa jua keputusan yang diambil pihak pentadbiran agama negeri.
Pada 13 Mac lalu, kira-kira 200 penduduk membabitkan 50 buah rumah terpaksa berpindah atas permintaan pemilik tanah setelah mendapat perintah mahkamah
.