Thursday, March 16, 2017

Aiman Tino Impi Beli Rumah Untuk Ibu-Bapa



Aiman memasang impian untuk membeli sebuah rumah untuk ibu bapanya.
PETALING JAYA: Penyanyi Aiman Tino berhasrat untuk membeli sebuah rumah sebagai hadiah kepada untuk ibu-bapanya atas pengorbanan mereka sehingga dia berada pada tahap hari ini.

Aiman berkata dia berharap dapat melaksanakan impian itu dalam tempoh setahun atau dua lagi kerana ingin memberi keselesaan kepada mereka dan adik-beradiknya.

"Kejayaan saya hari ini tidak akan ada tanpa bantuan, sokongan dan dorongan ibu bapa saya malah lagu Ku Rela Dibenci itu sendiri  hasil ciptaan mereka.

"Menjadi hasrat saya jika ada rezeki lebih nanti, saya ingin beli sebuah rumah yang selesa untuk mereka dan keluarga sebagai membalas jasa ibu-bapa.

"Menjadi tanggungjawab saya untuk membantu keluarga sekarang kerana banyak yang mereka sudah lakukan untuk saya," katanya.


Aiman baharu sahaja melancarkan produk Sweet Aiman.
Mengecapi kejayaan pada usia muda, Aiman berkata, dia sentiasa berpegang kepada nasihat ibu-bapanya iaitu Yusri Ismail dan Hazelina Mat Jali yang mahukan dia sentiasa merendah diri.

Kata Aiman, mereka tidak mahu dia hanyut dalam populariti kerana ia mampu merosakkan dirinya.

"Apa yang saya lalui sekarang memang tak pernah ada dalam fikiran saya dan jika diikutkan saya masih terkejut dan seolah-olah tidak percaya.

"Tetapi ibu-bapa sentiasa memberi nasihat dan mengingatkan agar sentiasa merendah diri, berbuat baik pada orang lain," ujarnya.

Sementara itu, Aiman berkata, dia juga lebih selesa karier seninya diurus dan dipantau oleh orang tuanya terutama dalam membuat sebarang keputusan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: