KUALA ROMPIN - Jeti Pusat Taman Laut di Pulau Tioman, di sini, bakal berubah wajah selepas menerima sentuhan baharu berkonsep moden selaras dengan kemajuan pulau peranginan itu.
Jeti yang telah berusia lebih 20 tahun itu bakal dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada pelancong dan penduduk tempatan dalam masa sama memberikan imej baharu yang lebih baik.
Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang, Mohd Fazli Long berkata, kos membaik pulih jeti itu melibatkan kos sebanyak RM4.57 juta melalui agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan.
Menurutnya, syarikat kontraktor telah pun dilantik manakala projek akan berjalan pada bulan ini dan dijangka siap pada Jun 2018.
“Jeti sebelum ini mengalami kerosakan dan merbahaya kepada pelancong, jadi dengan wajah baru ini ia akan memberi pengalaman yang lebih kepada mereka.
“Ini merupakan antara inisiatif kerajaan untuk menyediakan kemudahan yang bakal memberi galakan kepada sosial ekonomi dan keselamatan di pulau,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, JTLM Pahang juga akan menyediakan pameran interaktif berkaitan taman laut yang ditempatkan di Pusat Informasi Taman Laut di Pulau Tioman.
Katanya, melalui pameran itu pelancong akan dapat pengalaman dan maklumat dengan kaedah lebih menarik selain memberi pengalaman baharu kepada pelancong.
“Kita merancang untuk melaksanakan pada tahun ini sempena Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP2017) namun ia masih dalam proses penyediaan dan bakal siap tidak lama lagi,” katanya.