MUAR - Bagi mengimbas semula nostalgia budaya rewang yang sering dijalankan masyarakat terdahulu, sekumpulan penduduk dari Taman Bakri Maju, Bakri, di sini memilih konsep itu dalam meraikan majlis perkahwinan salah seorang anak penghuni berkenaan.
Acara gilang gemilang itu diserikan dengan permuafakatan penduduk termasuk saudara bermula daripada aktiviti memasak sehingga mencuci pinggan mangkuk.
Penganjur majlis, Zainal Ahmad, 59, meskipun tidak menetap dalam sebuah masyarakat desa, namun tidak menghalang dia dan isterinya, Noridah Abd Hamid, 56, menganjurkan aktiviti rewang dalam komuniti taman perumahan.
Menurutnya, dia memilih konsep itu dalam majlis perkahwinan anak sulung mereka bertujuan mengeratkan hubungan sesama komuniti.
“Berbeza dengan taman perumahan di mana usia perkenalan kami di sini sekitar 10 tahun dengan jurang umur yang berbeza, namun itu tidak halang kami imbau kenangan dengan merasai suasana rewang di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Zainal berkata, ternyata aktiviti itu memberi kepuasan kerana kira-kira 90 peratus mereka yang memberikan keringat dalam majlis tersebut adalah jiran tetangganya.
“Sejak berpindah di sini, ini merupakan kali pertama aktiviti rewang diadakan melibatkan komuniti di sini.
“Malah, melalui aktiviti ini, berikan kami peluang untuk berkumpul sejak beberapa hari lalu sebelum majlis bermula,” katanya.
Manakala Noridah berkaya, aktiviti berkenaan lebih jimat berbanding khidmat katering kerana mereka dapat mengurangkan sehingga 10 peratus bajet iaitu RM7,000 dengan jemputan seramai hampir 2,000 orang.
“Kalau tempah katering mereka akan kira dalam RM10 ke RM15 untuk satu kepala, tapi dalam aktiviti ni kami dapat jimat lebih banyak sebab semua keperluan dibeli sendiri dan dimasak oleh sanak saudara.
“Oleh itu, kami juga dapat sediakan lebih banyak hidangan dengan kos yang lebih rendah malah kami juga mengagihkan juadah kepada tetamu untuk dibawa pulang selain bersedekah bungkusan makanan kepada jiran tetangga,” katanya.
Noridah berkata, bermula dari majlis khatam al-Quran sehingga majlis persandingan, semuanya dibantu jiran tetangga yang berjumlah hampir 70 orang.
“Pada hari kemuncak, semua golongan masyarakat memainkan peranan termasuk anak-anak kecil berusia sembilan tahun membantu melancarkan majlis ini.
“Ada yang mencuci pinggan dan mengemas meja. Melalui konsep permuafakatan ini kita dapat rasai kemanisan hidup berjiran,” katanya
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: