LIMA - PERU. Pemanasan luar biasa kawasan perairan Pasifik di luar Peru secara tiba-tiba, membawa hujan lebat terburuk dalam tempoh beberapa dekad, selain menyebabkan kejadian tanah runtuh, aliran sungai sangat deras, banjir lumpur yang menyekat laluan dan memusnahkan tanaman di bawah tanda corak fenomena El Nino luar biasa pada tahun ini.
Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya 75 terkorban manakala 263 cedera dan lebih 70,000 hilang tempat tinggal selepas negara itu dilanda musim tengkujuh dengan taburan hujan 10 ganda lebih tinggi berbanding biasa.
Kira-kira 811 bandar telah diisytiharkan darurat selepas beberapa kawasan di utara Piura, Lambayeque, La Libertad dan Ancash merekodkan taburan hujan luar biasa hingga menyebabkan 100,000 penduduk mengalami kerugian akibat kemusnahan harta benda.
Banjir berkenaan turut memusnahkan 12,000 rumah, 25 sekolah dan lapan hospital atau klinik serta hampir 9,000 hektar kawasan pertanian terjejas.
Jelas Perdana Menteri, Fernando Zavala, negara itu kini bersiap sedia bagi menghadapi banjir untuk tempoh sebulan lagi.  
Sementara itu, saintis di Jawatankuasa El Nino, Dimitri Gutierrez berkata, pemanasan permukaan suhu laut di Pasifik dijangka berterusan sepanjang pantai utara Peru sehingga bulan depan.
"Ia  cenderung  disusuli fenomena El Nino global yang boleh menyebabkan banjir dan kemarau di negara berbeza," katanya.
Dalam pada itu agensi cuaca Amerika Syarikat meramalkan fenomena El Nino berlaku separuh kedua 2017 pada kadar 50-55 peratus.
Beberapa saintis juga menjangkakan perubahan iklim akan menyebabkan El Nino menjadi lebih kerap.
"Tidak perlu panik kerana kerajaan tahu apa yang perlu dilakukan," kata Presiden Pedro Pablo Kuczynski yang turut menggesa penduduk supaya tidak menghampiri sungai bagi mengelakkan kejadian lemas.
Di ibu negara, sesi persekolahan digantung selain bekalan air bersih terpaksa dicatu selepas sistem rawatan tersumbat hingga memaksa penduduk setempat mendapatkan air botol minuman yang semakin terhad di pasaran.
Kebanyakan penduduk yang terjejas cuaca buruk melampau itu adalah golongan miskin termasuk mereka yang mendirikan rumah sementara di atas dataran banjir yang telah kering selama hampir 20 tahun.    
"Bekalan elektrik kini terputus, tiada air minuman dan tiada transit kerana kebanyakan jalan kini tenggelam," kata Datuk Bandar Nuevo Chimbote, Valentin Fernandez.
Di tengah-tengah kekecohan akibat cuaca tidak menentu itu, seramai  22 juvana  di sebuah pusat tahanan di wilayah Lambayeque dilaporkan turut mengambil peluang untuk melarikan diri.
Jeneral yang ditugaskan untuk menyelaras tindak balas kerajaan, Jorge Chavez berpendapat, Peru perlu memikirkan semula pembinaan infrastruktur untuk berdepan dengan ancaman bencana alam susulan ramalan sesetengah model iklim berdasarkan kenaikan suhu.
"Kita memerlukan jambatan lebih kukuh selain lebuh raya dan bandar dilengkapi sistem perparitan untuk mengelakkan kejadian banjir buruk seperti ini daripada berulang," katanya.
Susulan situasi yang semakin meruncing, Presiden Chile, Bolivia dan Venezuela turut menawarkan bantuan untuk membantu Peru.