Thursday, March 16, 2017

Luqman Hafidz Sukar Urus Kerjaya Seni Tanpa Pembantu



Luqman memberitahu sukar menguruskan kerjaya seninya tanpa bantuan pengurus. Foto dari Instagram miliknya.
KUALA LUMPUR: Pelakon baharu Luqman Hafidz mengakui proses mengendalikan kerjaya seni secara sendirian tanpa pembantu peribadi atau pengurusan merupakan perkara yang mencabar.
Luqman, 26, berkata, kerumitan itu semakin dirasai kebelakangan ini apabila tawaran kerja dan jadualnya menjadi semakin padat.

"Bukanlah saya hendak kata keadaan (tiada pembantu peribadi atau pihak pengurusan) itu menyusahkan kerana ketika mula menyertai bidang ini tahun lepas saya masih tak ada masalah untuk bergerak dan uruskan sendiri.

"Cuma apabila kerjaya semakin berkembang tahun ini dan lebih banyak tawaran (kerja) masuk, saya rasa kelam-kabut untuk menguruskan semuanya sendirian," katanya.

Luqman atau Muhd Luqman Hafidz Mohd Fauzi, 26, yang dikenali menerusi watak Ali dalam filem Ola Bola (2016) berkata, pengurusan kerjayanya kurang teratur kebelakangan ini kerana dia terpaksa menyusun jadual, menguruskan tawaran dan harga, memandu sendiri dan melakukan keperluan lain secara berdikari.

"Akibatnya saya akan kepenatan terutamanya apabila tawaran kerja bertindih atau tempoh penggambaran yang panjang.
Luqman mula dikenali menerusi filem Ola Bola.
"Bertambah juga bila selepas seharian bekerja, saya sendiri kena memandu pulang jika lokasi penggambaran jauh dari rumah.

"Tapi saya masih baru dan belum kenal ramai orang jadi saya kenalah menyesuaikan diri dan bersusah-payah sikit ketika ini," katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana ramai dalam kalangan penggiat industri seni memberikan pelbagai peluang kepadanya.

"Dalam pada nama masih kurang dikenali, saya bersyukur kerana tawaran kerja diterima secara konsisten.

"Malah sekarang, saya juga semakin banyak menerima peluang pengacaraan.

"Terbaru, saya diberikan kepercayaan oleh RTM sebagai pengacara bersama Nadzmi Adhwa untuk program secara langsung iaitu Rentak Juara sehingga Mei nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: