MUAR - Pengalaman melangsungkan perkahwinan dalam adat Melayu nyata memberi kenangan paling indah buat sepasang suami isteri dari Kanada setelah berhasrat meraikan majlis berkenaan bersama rakan niaganya dari negara ini.
Paul Tougas, 39, bersama pasangannya Caroline Lapointe, 43, sebelum ini telah pun mengadakan majlis perlahwinan mereka pada September tahun lalu di Quebac, Kanada, namun, faktor jarak telah menyebabkan rakan-rakan perniagaannya dari Malaysia tidak dapat meraikan majlis tersebut bersama-sama.
Memikirkan hubungan baik yang terjalin sejak 17 tahun lalu selaku rakan niaga dalam industri perabot, Paul kemudiannya nekad mengadakan majlis perkahwinan mereka kali kedua dengan meminta tolong rakannya dari Malaysia untuk menguruskan segala kelengkapan.
Pasangan itu diraikan dalam suasana meriah di perkarangan Syarikat LB Furniture Sdn Bhd, Bakri di sini, dengan persalinan songket berwarna biru sebelum disusuli pelbagai istiadat perkahwinan Melayu dalam majlis berkenaan.
"Pengalaman bergelar raja sehari disusuli dengan paluan kompang dan aktiviti bersilat sememangnya menceriakan majlis ini. Malah saya juga turut merasai istiadat membayar tol sebelum dibenarkan bersanding di sebelah pasangan saya serta aktiviti menepung tawar.
"Segala kenangan ini memang menyeronokkan dan saya benar-benar terhibur serta terharu dengan usaha semua rakan-rakan saya di Malaysia. Pengalaman ini sekaligus membuat kami tertarik dengan negara ini khususnya adat orang Melayu," katanya ketika ditemui hari ini.
Pasangan yang telah berkenalan selama 19 tahun itu sebelum ini telah pun berbulan madu di Pulau Redang, Terengganu sebelum majlis mereka berlangsung hari ini.