Thursday, March 23, 2017

Hadiah Sultan Johor Pada Rakyatnya - JCorp




SULTAN Ibrahim (dua dari kiri) merasmikan Projek Rumah Impan Bangsa Johor di Galleri@Kotaraya di Johor Bahru pada 22 Mac 2017 sambil diperhatikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tiga dari kirni) Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim (paling kanan). 
JOHOR BAHRU: Projek Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim, yang juga hasil cetusan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bakal menyaksikan rakyat negeri ini berpeluang memiliki rumah sendiri daripada serendah RM80,000.
Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata inisiatif itu bukan setakat satu projek perumahan semata-mata tetapi ia adalah satu inovasi baharu dalam sektor perumahan yang boleh menjadi pencetus perubahan dalam sektor itu.
"Ini kerana, Rumah Impian Bangsa Johor bukan sahaja dijual pada harga berpatutan malah jauh lebih murah berbanding harga pasaran sekarang. 
"Semua ini adalah hasil cetusan idea daripada Duli Yang Maha Mulia Tuanku sendiri malah bagaikan hadiah kepada sekalian rakyat Johor sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku," katanya ketika berucap pada majlis prapelancaran inisiatif berkenaan di Galleria Kota Raya pada Rabu.
Turut berkenan mencemar duli ke majlis itu Sultan Ibrahim serta Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta barisan exco kerajaan negeri turut hadir. 
Prihatin dengan sesetengah rakyat yang mungkin dihimpit dengan kekangan kewangan, Yayasan Sultan Ibrahim juga bekerjasama dengan Bank Rakyat untuk kemudahan pembiayaan kepada bakal pembeli. 
"Bagi tujuan itu, Bank Rakyat bersetuju memperuntukkan dana berjumlah RM500 juta untuk kemudahan pembiayaan rumah berharga daripada serendah RM80,000 seunit dalam program ini. 
"Lebih menarik lagi, pembeli yang layak hanya perlu membayar wang deposit serendah RM1 dengan tawaran pinjaman 100 peratus," kata beliau. 
Kamaruzzaman berkata projek itu akan dilaksanakan oleh syarikat dalam kumpulannya, Johor Land Bhd secara usahasama dengan dua syarikat lain di dua kawasan iaitu Bandar Dato' Onn dan Bandar Baru Majidee. 
Di Bandar Dato' Onn, projek itu yang akan dikategorikan sebagai Rumah Impian Sultan Ibrahim, akan dibina di atas kawasan seluas 21.32 hektar melibatkan lebih 520 unit rumah. 
Harga rumah di kawasan itu yang terdiri daripada rumah teres, rumah berkembar dan rumah sesebuah bermula daripada RM80,000 sehingga RM100,000, dijangka mula dibina sebelum hujung tahun ini. 
Sementara itu, sejumlah 320 unit rumah terdiri daripada dua blok kediaman, masing-masing mempunyai 12 tingkat kediaman, akan dibina di atas tanah seluas 2.75 hektar di Bandar Baru Majidee. 
Dengan harga kurang daripada RM150,000 seunit, kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada pertengahan tahun ini dan dijangka siap pada penghujung 2019. 
Selain itu, Kamaruzzaman berkata sebuah projek lagi sedang dirancang oleh Mutiara S'City Sdn Bhd di tanah rizab Melayu di kawasan Bukit Saujana, seluas 3.055 hektar melibatkan 1,000 unit rumah. 
Harga jualan dijangkakan daripada RM297,000 hingga RM420,000. 
"Lebih menarik, kesemua jenis rumah dengan harga jualan berpatutan ini akan turut dilengkapi kemudahan lain seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh dan cook top. Ini sekali gus menggambarkan kesesuaian gelarannya sebagai Rumah Impian Bangsa Johor," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: