SHAH ALAM: Perkenalan singkat Hafiz Hamidun dengan Joy Revfa tidak menghalang mereka untuk bernikah Mei depan selain dia menganggap Joy mampu membawa kebahagiaan dalam rumah tangga mereka nanti.
Jelas Hafiz, 33, dia tidak terburu-buru dalam membuat keputusan berkenaan sebaliknya yakin wanita tersebut mampu menjalankan tugas isteri seperti yang diharapkannya.
"Sebelum ini saya pernah menjalinkan hubungan cinta selama dua atau tiga tahun, tapi tak menjadi juga. Namun siapa sangka wanita yang baru saya kenal ini ialah jodoh untuk saya.
"Saya tak nafi waktu perkenalan kami sangat singkat, tapi saya percaya kami boleh saling kenal mengenai lagi lepas ini. Lepas menikah pun boleh kenal hati budi, tak ada masalah," katanya.
Ibu Hafiz iaitu Laila Sarji menyarungkan cincin ke jari manis Joy Revfa.
Hafiz ditemui pada majlis pertungannya bersama Joy atau Siti Arifah Amin yang diadakan di The Venue Shah Alam pada Rabu.
Pasangan itu mengikat tali pertunangan selepas mengenali antara satu sama lain kira-kira empat minggu lalu.
Joy, 30, yang sebelum ini pernah berkahwin mempunyai seorang anak lelaki bernama Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun.
Mereka turut merancang untuk mengadakan majlis resepsi pada 1 Julai depan.
Sementara itu diminta mengulas mengenai tanggapan negatif segelintir pihak kononnya Hafiz memilih wanita berkenaan sebagai bakal isteri disebabkan harta, penyanyi lagu-lagu ketuhanan itu segera menafikannya.
"Saya tak kenal siapa dia sebelum ini. Namun syukur Alhamdulillah kerana dia ada empayar perniagaannya sendiri.
"Tapi tak syoklah cakap begitu (kahwin sebab harta) kerana agama kita pun bagi panduan untuk pilih pasangan hidup. Kena tengok keluarganya, agamanya, rupa paras dan pelbagai faktor lain.
"Entah-entah Joy terima saya juga sebab harta saya," katanya berseloroh.
Joy turut ditemani ibunya, Sofia Abbas (kanan).
Selain aktif menyanyi dan mencipta lagu, Hafiz juga mempunyai syarikat rakaman sendiri iaitu Arteffects International dan turut menceburi bidang peniagaan fesyen melalui jenama Mikraj Concept.
Selain itu Hafiz berkata dia juga tidak kisah dengan tanggungjawab sebagai 'bapa segera' yang bakal digalasnya selepas mengahwini Joy.
"Alhamdulillah saya seronok, saya pun suka budak-budak. Sebelum ini dia besarkan anak seorang diri. Ini juga demi masa depan anak dia.
"Lepas ini sudah ada lelaki dalam keluarga untuk bimbing mereka. Walaupun Joy adalah ketua dalam perniagaannya, dia masih memerlukan ketua dalam hidup," katanya.
Hafiz dan Joy masing-masing mempunyai empayar perniagaan sendiri.
Sementara itu Joy ketika ditemui turut menepis tanggapan bahawa keputusan singkat yang diambil mereka untuk bertunang dan berkahwin didorong isu kekayaan.
"Kalau nak dibandingkan dengan saya, dia sudah ada empayar perniagaan sendiri yang lebih besar daripada saya.
"Kami berdua adalah usahawan jadi tak perlu timbul kami nak kahwin sebab harta kerana dia pun ada perniagagan sendiri. Kami berdua ada aset sendiri," ujar Joy yang berasal dari Kuantan, Pahang.
Terang Joy, sikap Hafiz yang tenang membuatkan dia terbuka hati untuk berkahwin lagi selepas perkahwinan pertama gagal hampir tiga tahun lalu.
"Dia seorang yang sangat tenang dan penyayang. Hafiz sangat berbeza dengan lelaki lain yang pernah saya kenali.
"Saya yakin dia dapat bimbing saya dan anak hingga ke syurga. Saya berdoa hubungan ini sampai ke akhir hayat kami," katanya.
Pelamin indah khas untuk majlis pertunangan Hafiz dan Joy.
Akui Joy lagi, dia juga tidak kisah apabila kisah peribadinya pada masa lalu kembali diperkatakan khususnya selepas hubungannya dengan Hafiz dilaporkan media.
"Saya terima semua kecaman itu dengan positif. Saya tak hairan orang nak cakap apa.
"Sebagai ahli perniagaan saya sudah biasa terima kritikan akan komen negatif," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: