SEREMBAN – Masih ramai tidak tahu mengenai pelbagai faedah disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pencarum serta warisnya.
Timbalan Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Nur Muhammad Bakhtir Mohd Akhir berkata, kerana itu, banyak keistimewaan disediakan kepada pencarum terbiar begitu sahaja.
Beliau berkata, bantuan bukan hanya diberi kepada hal-hal kematian, sebaliknya jika ada pencarum yang berhenti kerja kerana sakit, ada juga skim bantuan disediakan untuk mereka sekiranya didapati layak.
“Oleh kerana kesedaran orang ramai mengenai faedah Perkeso itu kurang, kita terpaksa tubuhkan Skuad Perkeso Prihatin bagi mengesan pencarum yang ditimpa bencana atau warisnya.
“Di Perkeso, kita ada Skim Bencana Pekerjaan dan juga Skim Keilatan, di mana kedua-dua skim ini memberi perlindungan kepada pencarum dan juga warisnya. Jika tiada sebarang tuntutan di buat, adalah satu kerugian besar buat mereka,” katanya selepas menyerahkan cek pengurusan jenazah berjumlah RM1,500 kepada waris pencarum, Mohd Reffee Shadom, 38, yang meninggal dunia semasa bekerja di Sikamat, kelmarin.