MIAMI - AMERIKA SYARIKAT. Sebuah peranti telefon pintar baru direka bagi membolehkan ia menganalisis kepekatan air mani lelaki dan membolehkan hasilnya diketahui hanya dalam masa beberapa minit tahap mutu air mani yang diuji.
Memetik laporan CNN, peranti yang dibangunkan penyelidik Amerika Syarikat itu memudahkan lelaki bagi menguji sendiri air mani mereka di rumah.
"Kami mahu mencari jalan penyelesaian untuk membuat ujian kemandulan lelaki menjadi lebih mudah dan berpatutan seperti ujian kehamilan di rumah.
"Kerana sebelum ini lelaki perlu menyediakan sampel air mani di bilik hospital iaitu satu keadaan yang membuat mereka sering mengalami tekanan, malu, pesimisme dan kecewa," kata penulis bersama Hadi Shafiee, seorang doktor di bahagian kejuruteraan perubatan di Brigham dan Sekolah Perubatan Harvard, yang mengetuai kajian itu.
Terdahulu teknologi itu diterangkan dalam jurnal Science Translational Medicine.
Ia berfungsi dengan menggunakan gabungan lampiran optik yang boleh disambungkan ke telefon pintar dan peranti buang selepas guna untuk memuatkan sampel air mani, kata laporan itu.
Penyelidik menguji peranti menggunakan 350 spesimen air mani di Pusat Kesuburan Hospital Besar Massachusetts (MGH).
Berdasarkan ujian yang menggunakan peranti telefon pintar itu bagi mengesan sampel air mani yang tidak normal, keputusan menunjukkan ia berjaya menepati ketepatan sehingga 98 peratus berdasarkan kepekatan dan motiliti Pertubuhan Kesihatan Dunia.
Kos bahan yang digunakan memasangnya ialah AS$4.45 (RM19.71).
"Keupayaan membawa ujian air mani kepada pengguna, atau kemudahan kesihatan dengan sumber terhad, adalah satu perubahan,Perkembangan ini akan menyediakan akses lebih cepat dan lebih baik kepada penjagaan kesuburan," kata penulis bersama John Petrozza, dan pengarah Pusat Kesuburan MGH.
Peranti itu belum dipasarkan kepada kepada orang ramai dan masih dalam peringkat prototaip.
Penyelidik merancang mengadakan ujian tambahan sebelum memfailkan bagi kelulusan Pentadbiran Makan dan Ubat Amerika
.