LANGKAWI - Kerja-kerja menaik taraf helikopter Sikorsky S61A-4 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atau lebih dikenali sebagai Nuri, mendapat sentuhan kaum hawa apabila dua jurutera avionik yang ditugaskan untuk kerja-kerja itu ialah wanita.
Hasfiza Abdul Halim dan Sh Intan Safinaz Syed Kassim kedua-dua mereka ialah ketua jurutera kanan di AIROD Sdn Bhd's Research and Development Aviation Design Centre dan mereka mengambil masa tidak sampai 11 bulan untuk menyiapkan kerja-kerja naik taraf pesawat pertama daripada 15 helikopter Nuri.
Menurut Hasfiza, tugasan dikenali sebagai Menaik Taraf Pesawat Nuri TUDM Fasa Empat (NUP4) dijalankan di Kemudahan AIROD di Subang dan mereka bekerja bersama-sama dengan Heli-One Norway, rakan teknikal syarikat itu di bawah persetujuan pemindahan teknologi.  
"Mereka memberi komitmen sepenuhnya kepada kerja-kerja itu tujuh hari seminggu dan apabila kerja-kerja menaik taraf siap, ia membolehkan jangka hayat Nuri dilanjutkan selama 15 tahun lagi," katanya kepada Bernama.
Ketika ditemui pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2017 (Lima '17) di sini, beliau berkata Sistem Informasi Penerbangan Elektronik (EFIS), pengurusan penerbangan, radar, navigasi, dan sistem interkom ialah antara peralatan yang dinaik taraf.
Hasfiza berkata kerja-kerja awal untuk proses menaik taraf Nuri bermula Jun tahun lepas dan mereka menyiapkan kerja-kerja itu dengan mendapatkan kelulusan untuk menjalankan ujian penerbangan pada Februari, hanya beberapa minggu sebelum Lima'17 bermula.
AIROD menyerahkan helikopter Nuri yang telagh dinaik taraf kepada Panglima TUDM, Datuk Seri Affandi Buang, disaksikan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di luar acara itu.
"Kami menghasilkan kajian semula reka bentuk preliminari pada Julai (tahun lepas) bulan. Tiga bulan kemudian, kami melakukan kajian semula reka bentuk kritikal untuk memberi tumpuan kepada integrasi sistem," kata Hasfiza, graduan Kejuruteraan Sistem Komunikasi dari Coventry University, London.
Sementara itu, Sh Intan Safinaz lulusan Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik dari Universiti Teknologi Petronas berkata langkah seterusnya ialah untuk menyiapkan kerja-kerja menaik taraf semua 15 pesawat Nuri dan mendapatkan  pengiktirafan daripada badan-badan penerbangan berkaitan bagi kerja-kerja mereka.
"Kami berharap mendapat pengikhtirafan Directorate General for Technical Airworthiness (DGTA)," kata beliau.
Kerja-kerja NUP4 bukan projek pertama bagi kedua-dua wanita yang berasal dari Alor Setar itu kerana mereka telah terlibat dalam beberapa kerja-kerja menaik taraf avionik lain sepanjang pengalaman mereka selama 20 tahun.
Selain helikopter Nuri, mereka juga terlibat dalam proses menaik taraf pesawat awam Fokker F28 milik Transwisata dari Indonesia.