PANGKOR - Jika datang ke Perak terutama ke daerah Manjung, pengunjung tidak boleh melepaskan peluang untuk bercuti ke Pulau Pangkor.
Pulau berkenaan turut mempunyai lokasi sejarah iaitu Kota Belanda yang terletak di Kampung Teluk Gedung.
Menurut Ketua Kampung Teluk Gedung, Norazamai Abu Bakar, walaupun struktur bangunan itu hanya tinggal rangka namun terdapat kisah menarik di sebaliknya.
"Bangunan ini dahulunya dibina pihak Belanda untuk menyimpan harta benda mereka dan dikatakan ada terowong bawah tanah yang dibina bermula dari bangunan ini hingga ke laut.
"Lubang terowong juga masih ada tapi sebahagiannya sudah terkambus disebabkan peredaran zaman. Menurut cerita juga terdapat harta karun yang disimpan di dalam terowong itu sehingga ada pihak yang berusaha untuk mencarinya," katanya.
Katanya, lebih kurang enam tahun lalu ada pencari gali harta karun yang mencuba nasib mencari harta karun yang dikatakan berkenaan.
"Mereka menjumpai barangan lama seperti tembikar, lampu dan lain-lain dan dikatakan ia diletakkan di galeri Pangkor.
"Kami sendiri sebagai penduduk Pangkor tidak pernah cuba untuk mencarinya kerana kami anggap kawasan ini sebagai salah satu lokasi sejarah yang harus dipelihara dan diingati kisah sejarahnya," katanya.
Penduduk, Mohd Arshad Yusof, 41, berkata, di sebalik kisah Kota Belanda, terdapat juga kisah seorang pejuang Melayu yang bernama Panglima Kulop.
"Kisah Panglima Kulop kurang dikomersialkan seperti kisah-kisah pejuang Melayu lain tapi bagi saya sebagai pencinta sejarah ia adalah satu kisah yang menarik.
"Panglima Kulop pejuang yang menentang kedatangan Belanda ke pulau ini dan pusaranya masih ada hingga sekarang yang terletak tidak jauh dari Kota Belanda ini," katanya.
Katanya, mereka yang datang ke Kota Belanda perlu mengetahui serba sedikit tentang sejarah bangunan itu termasuklah kisah perjuangan Panglima Kulop supaya kunjungan tidak sia-sia.
"Walaupun lokasinya nampak biasa tapi kisah di sebaliknya perlu diambil pengajaran. Pengunjung juga tak boleh ada niat tak baik bila datang ke sini .
"Kenapa? Sebab pernah diceritakan ada pihak yang cuba mencari harta karun di sini tiba-tiba terserempak dengan lembaga berpakaian hitam seperti mengawal atau menjaga kawasan berkenaan.
"Saya sendiri  pun tak tahu kesahihan cerita berkenaan tapi bagi saya kita seharusnya sentiasa menjaga adab apabila datang ke lokasi seperti ini," katanya
.