BUKAN sekadar gimik atau promosi untuk menarik pelanggan. Sebaliknya, papan tanda Free Car Wash yang terpampang di tepi jalan dekat Kompleks Tahfiz Darul Ulum di Jalan Paroi - Senawang, Seremban, memang benar-benar wujud.
Itulah inisiatif dilakukan pusat tahfiz terbabit dengan menyediakan perkhidmatan cucian kereta di kawasan berkenaan tanpa sebarang bayaran.
Ketua Sektor Dana dan Pembangunan Tahfiz Darul Ulum, Mohd Nazri Zainuddin berkata, tujuan asal perkhidmatan itu adalah sebagai tanda terima kasih pihak pengurusan tahfiz kepada orang ramai yang banyak membantu mereka selama ini.
Malah, katanya, ia sebahagian tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat lebih-lebih lagi segala peralatan cucian kereta itu diwakafkan seorang individu.
“Jadi, bekas Pengerusi Akademi Darul Ulum, Allahyarham Mohd Khairi Zainuddin yang cadangkan supaya kami sediakan khidmat percuma," katanya.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya menyediakan tabung di situ untuk pelanggan berhasrat menyumbangkan wang bagi pembangunan pusat tahfiz terbabit tanpa sebarang paksaan.
"Kita buat konsep tabung supaya tidak membuatkan pelanggan rasa serba salah untuk dapatkan perkhidmatan kami. Jangan risau perkhidmatan memang percuma.
“Kalau mereka nak bayar juga, boleh terus masuk duit dalam tabung. Jumlahnya bergantung kepada keikhlasan hati masing-masing. Paling penting, tiada paksaan,” katanya.
Menurutnya, sejak beroperasi empat bulan lalu, perkhidmatan di situ mendapat sambutan menggalakkan terutama selepas dikongsi di WhatsApp dan Facebook.
“Kita buka pada setiap hari Selasa hingga Ahad bermula jam 9 pagi hingga 7 malam. Biasanya paling ramai pelanggan pada  Sabtu dan Ahad.
Mohd Nazri berkata, walaupun percuma namun kebanyakan pelanggan lebih suka dapat menyumbang ke dalam tabung.
Menurutnya, duit sumbangan terbabit digunakan sepenuhnya untuk pengurusan pusat tahfiz itu selain menampung kos pembinaan bangunan fasa dua yang kini sedang berjalan.
“Sekarang ini baru lima peratus bangunan fasa dua yang dijangka dapat siap sepenuhnya tahun hadapan.
“Kita rancang untuk tambah jumlah kemasukan pelajar di sini dengan lengkapkan lagi kemudahan lain seperti surau, makmal dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Malah, beliau turut mengalu-alukan kepada mana-mana pihak berhasrat mengadakan program khidmat sosial dengan kompleks berkenaan.
Bertuah diberi tanggungjawab
Sementara itu, dua pemuda, Minsya Hakimi Mohd Shahril, 22, dan Haziq Abu Bakar, 21, dipertanggungjawabkan menguruskan perkhidmatan basuh kereta berkenaan.
Minsya merupakan graduan Diploma Automotif dari Politeknik Port Dickson dan Haziq pula berkelulusan Institut Kemahiran Mara, Kuala Lumpur dalam bidang kimpalan.
Kedua- dua mereka menyifatkan diri mereka bertuah kerana diberi peluang untuk berkhidmat di situ.
Menurut Minsya, ada pelanggan yang mempersoalkan konsep percuma ditawarkan kerana beranggapan ia merugikan.
“Memanglah siapa yang tak pelik bila diberitahu ia percuma. Tapi bila saya terangkan, baru mereka faham dan sekarang kami pun dah ada pelanggan tetap.
“Yang datang sini bukan saja pelanggan Islam, tapi juga dari kaum lain. Malah, saya nampak mereka juga tak lokek untuk turut menyumbang.
“Bila buat konsep tabung ini, pelanggan tak rasa segan nak beri sumbangan sebab kita tak terima duit pada tangan, tapi mereka  hanya perlu masukkan dalam tabung disediakan,” katanya.
Selain perkhidmatan basuh kereta, turut disediakan bengkel membaiki kereta dengan harga berpatutan.