Thursday, March 16, 2017

Azharina Teruja Bakal Adakan Persembahan Solo



Impian Azharina untuk mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe dapat dilaksanakan juga. 
KUALA LUMPUR: Penyanyi Azharina Azhar begitu teruja apabila bakal mengadakan persembahan solo pertamanya di Hard Rock Cafe di sini pada 26 Mac ini.
Juara program Gegar Vaganza 3 (GV3) itu berkata, selepas beberapa tahun menyepikan diri, persembahan itu diharap dapat menjadi platform membuktikan kebolehan nyanyiannya kepada peminat.

"Sepanjang karier saya, saya tak pernah mengadakan konsert solo sebelum ini dan Hard Rock Cafe adalah yang pertama dan saya memang berangan-angan hendak adakan persembahan di situ.

"Sudah tentu saya teruja kerana sebelum ini lama saya 'terperap' dan peluang mengadakan konsert tidak akan saya lepaskan.

"Ini peluang saya untuk membuktikan kepada peminat apa yang mampu saya berikan menerusi persembahan saya selain daripada apa yang mereka lihat ketika saya bertanding dalam Gegar Vaganza," katanya.
Azharina Azhar kembali popular selepas menjuarai Gegar Vaganza musim ketiga.
Penyanyi lagu Elergi Sepi ini ditemui pada sidang media Azharina Live in Hard Rock Cafe di sini, Selasa.

Persembahan yang akan bermula pada pukul 3 petang itu turut diserikan persembahan pembukaan oleh Kris Patt dan Wafi.

Dalam pada itu, Azharina, 32, berkata, pada konsert itu nanti dia akan menyampaikan 14 buah lagu yang ada antaranya pilihan peminat.

Katanya lagi, dia juga akan menyampaikan lima buah lagu berbahasa Inggeris seperti Hotel California, La Bamba, Ain't No Mountain High, Cheap Trills dan Proud Mary pada hari itu nanti.

"Sebagai persediaan konsert ini saya senaraikan lebih 1,000 lagu untuk memilih yang terbaik.

"Saya juga minta peminat senaraikan dua lagu kegemaran mereka menerusi persembahan saya di Gegar Vaganza dan mereka pilih Izinkanlah dan Mama Ku Ingin Pulang.
"Selain lagu wajib iaitu Elergi Sepi saya juga akan menyampaikan rangkaian lagu-lagu Inggeris pada hari itu nanti," katanya.

Azharina memberitahu pada konsert itu nanti dia turut diiringi oleh pemuzik Kumpulan Patriot Band dan enam penari latar.

Azharina (dua dari kanan) bersama mereka yang terlibat dalam persembahannya nanti.
Bercakap mengenai persediaannya menjelang konsert itu nanti, Azharina berkata, selain giat mengadakan latihan dia juga akan memastikan mendapat tidur yang cukup.

"Jujurnya tiada apa yang luar biasa tentang persiapan saya tetapi saya akan pastikan persembahan itu nanti akan memberi kelainan dan berbeza seperti mana yang dilihat ketika menyertai Gegar Vaganza.

"Latihan, hafal lirik dan mendapat tidur yang cukup sahaja rutin saya sebagai persediaan menjelang konsert," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: