SIMPANG - Sebut sahaja wang lama, mungkin ada segelintir masyarakat hari ini menganggap ia sesuatu tidak bernilai, namun berbeza dengan mereka yang obses dan mempunyai minat yang tinggi terhadap duit-duit lama ini.
Ada yang mula mengumpul kerana nilai yang tinggi dan tidak terkecuali mereka yang menjadikannya koleksi kerana minat semata-mata.
Husin Arshad, 71, berkata, dia mula berminat dengan hobi berkenaan sejak berusia 11 tahun dan berterusan hingga ke hari ini.
Menurutnya, walaupun tidak banyak seperti orang lain, namun setelah hampir 60 tahun mengumpul, terdapat lebih 50 keping wang kertas pelbagai nilai dan mata wang.
Husin yang juga bapa kepada sembilan anak berkata, mungkin caranya agak berbeza daripada individu lain yang sanggup berhabis ribuan ringgit bagi mendapatkan koleksi yang mereka minati.
“Pakcik pula akan kumpul mana-mana wang yang dirasakan unik seperti wang kertas RM20 dan 25 sen semasa zaman British dahulu.
“Sebahagian wang tersebut diberikan ibu dan ayah sebagai wang saku sekolah. Jadi kerana minat pakcik ambil dan simpan hingga ke hari ini dan ia masih elok,” katanya.
Husin sebelum ini bekerja sebagai pelukis pelan di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bagan Serai berkata, beberapa wang lama yang dimilikinya itu juga mempunyai nilai yang tinggi dan mendapat permintaan ramai.
“Namun pakcik tidak bercadang untuk menjual sebaliknya hanya akan menyimpan sebagai kenang-kenangan.
“Jika pakcik jual mungkin boleh dapat jumlah yang tinggi, namun segala kenangan dan nilai sentimentalnya akan hilang,” katanya.
Husin yang berasal dari Bukit Merah berkata, walaupun semua anaknya tidak berminat dengan hobi tersebut, namun dia gembira dapat bercerita kepada anak cucu tentang sejarah dan kenangan.
“Pakcik yakin semakin ramai yang minat mengumpul duit lama dan sebahagiannya adalah daripada kalangan orang muda.
“Pakcik hanya mengumpul duit lama ini sebagai hobi dan akan tetap terus mengumpul kerana satu hari nanti mungkin boleh menjadi sumber rujukan kepada anak cucu,” katanya.
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: