SELEPAS hampir 30 tahun karya kartun 'Mat Som' diterbitkan, kartunis terkenal tanahair Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat bakal menerbitkan 'Mat Som 2' tahun ini.  
Lat, 66, berkata beliau mengambil masa lama untuk menyiapkan novel grafik itu yang sebelum ini diterbitkan pada 1989 dalam menghasilkan karya terbaik.  
"Karya ini antaranya bakal menggambarkan kehidupan anak muda di Kuala Lumpur sekarang yang banyak mengeluh mengenai kesusahan yang sebenarnya pernah kami hadapi dulu," katanya kepada pemberita semasa sesi memperkenalkan 'Tifl al-Qaryah' (Kampung Boy) di Riyadh International Book Fair (RIBF) 2017 di sini.  
Karya klasik Mat Som yang merakamkan dilema dalam kehidupan seorang penulis sambilan bernama Mat Som Mat Top di ibu kota pernah diadaptasi ke filem dengan  menggunakan judul Mat Som yang dilakonkan Imuda pada 1990.  
Dalam pada itu, Lat berkata karya Kampung Boy yang diterjemahkan ke bahasa Arab mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Arab Saudi sehingga habis terjual pada pesta buku berkenaan.  
"Pembaca di kalangan masyarakat Arab akan mengetahui bagaimana kehidupan masyarakat Islam di Malaysia yang sebenarnya tidak banyak bezanya kerana saya tonjolkan kehidupan tradisi orang Melayu yang juga mempunyai hubungan dengan hukum-hakam Islam," katanya.  
Malaysia diundang kerajaan Arab Saudi sebagai Negara Tetamu Kehormat di pesta buku ini yang bermula dari 8 hingga 17 Mac.