Thursday, March 16, 2017

'Adiwira Ku' Sarat Aura Positif



Keserasian antara Sangeetha Krisnasamy dan Xavier Fong (kiri) sebagai Cikgu Cheryl Ann Fernando dan Cikgu Constant cukup terserlah.
Filem: Adiwira KuPengarah: Eric Ong
Pelakon: Sangeetha Krisnasamy, Xavier Fong, Ahmad Adnin Zidane Muslim, Nur Irdina Tasnim Ishak, Mohamad Ajwad Mohd. Sobri dan Balqis Sani
Genre: Drama
Durasi: 122 minit
Pengedar: Empire Film Solution Sdn. Bhd.
Tarikh Tayangan: 9 Mac 2017

KALAU disemak kembali direktori penerbitan filem tempatan yang sudah menjangkau lebih daripada lapan dekad, percayalah, amat jarang sekali kisah tentang profesion guru dihasilkan.

Jika ada sekalipun dan yang paling popular sehingga sudah mencapai filem bertaraf malar segar adalah Adik Manja (1980) arahan Othman Hafsham yang menyentuh isu dan gejala sosial melanda masyarakat ketika itu.

Pastinya, tiada siapa yang akan dapat melupakan watak Cikgu Azmi (lakonan Dharma Harun Al-Rashid), Cikgu Sharina (Noorkumalasari) dan Cikgu Bedah (Adibah Amin) yang ditampilkan dalam Filem Komedi Terbaik Festival Filem Malaysia Pertama (1980) itu yang terus diingati sehingga ke hari ini.

Selepas daripada kejayaan filem Adik Manja itu, amat sukar untuk melihat karyawan filem tempatan mengangkat profesion yang disegani itu ke layar perak seperti mana Hollywood menerbitkan filem seperti Half Nelson (2006), Dangerous Minds (1995), Dead Poets Society (1989) dan To Sir, With Love (1967).

Barangkali juga sebilangan besar karyawan tempatan menganggap menerbitkan filem bertemakan perguruan adalah sesuatu yang sukar untuk menjana keuntungan berlipat ganda.
Keserasian antara Sangeetha Krisnasamy dan Xavier Fong (kiri) sebagai Cikgu Cheryl Ann Fernando dan Cikgu Constant cukup terserlah
Jika ada sekalipun, watak guru yang ditampilkan sekadar tempelan, diperbodohkan atau melibatkan guru dengan dunia percintaan yang memualkan.

Justeru, apabila penulis berpeluang menonton filem Adiwira Ku yang diarahkan oleh Eric Ong, penulis mampu menghela nafas yang panjang sebagai isyarat bahawa filem berkenaan telah memberikan keadilan sewajarnya dalam mengangkat profesion itu.

Seperti mana yang diketahui, filem Adiwira Ku yang diinspirasikan daripada kisah benar tentang perjuangan dan pengorbanan seorang guru Bahasa Inggeris, Cheryl Ann Fernando untuk membantu anak-anak muridnya berjaya dalam pelajaran selain menajamkan skil serta komunikasi dalam bahasa tersebut.

Sebagai pengarah dan penulis lakon layar bersama Jason Chong, Eric telah berjaya memberikan satu persembahan terbaik yang lengkap rempah ratusnya. Namakan saja. Humor, sedih, gembira, sayu, semangat – semuanya ada dan dijalin dengan baik dalam Adiwira Ku.

Disebabkan itu, ia sekali gus melayakkan Adiwira Ku untuk menjadi santapan yang cukup ‘mahal’ dan enak dinikmati sepanjang dua jam ia berputar di layar.

Naskhah Adiwira Ku berfokus dan menuju tepat pada sasarannya. Malah, ia tidak memerlukan subplot yang meremehkan dan babak dramatik berlebihan untuk menambahkan rasa terhadap lakon layar dan penceritannya.

Semuanya tertumpu kepada cerita yang dipersembahkan dari suduh pandang Cheryl Ann Fernando (Sangeetha Krisnasamy) yang menceritakan perjalanan dan naik turunnya berkhidmat sebagai seorang guru di sebuah sekolah luar bandar selama tiga tahun.

Bermula dari minit pertama, perjalanan cerita Adiwira Ku bergerak dengan lancar tanpa menimbulkan resah mahupun rasa bosan. Ia ibarat menonton sebuah diari bervisual Cheryl Ann yang begitu indah dan penuh warna-warni.

Ahmad Adnin Zidane Muslim mencuri tumpuan dengan lakonan bersahaja.
Tidak perlu cerita sampingan yang memualkan dan klise. Jika tidak, seperti lazimnya dalam filem mahupun siri televsiyen tempatan, pasti akan ada watak orang Melayu yang dengki dan cemburu dengan kejayaan orang lain. Itu tidak ada dalam Adiwira Ku biarpun persekitarannya adalah dalam kehidupan masyarakat Melayu.

Di sinilah terletaknya kebijaksanaa naskhah Adiwira Ku yang lari daripada norma acuan tipikal filem tempatan kerana penulis percaya Adiwira Ku mahu menyuntik aura positif dan memberikan inspirasi kepada masyarakat dalam keadaan situasi negara yang suram ketika ini.

Ditambah pula dengan suntingan kemas Alex Teng dan hasil sinematografi cemerlang oleh Husni Abu Hassan telah melengkapkan Adiwira Ku sebagai sebuah naskhah yang berada dalam kelas tersendiri.

Di sebalik pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh guru sejak kebelakangan ini sehingga diberikan pelbagai konotasi negatif, Adiwira Ku hadir dengan semangat dan suntikan baharu untuk menghapuskan andaian tersebut.

Apatah lagi, ceritanya berkisar tentang masyarakat luar Bandar. Barangkali ramai di kalangan kita yang tidak mengetahui tentang permasalahan sebenar yang berlaku.

Justeru, Adiwira Ku mewakili masyarakat luar bandar untuk menyampaikan dan memberikan mesej kepada kita yang hidup di bandar untuk mensyukuri dengan segala nikmat diberikan kepada kita.

Lakonan Nur Irdina Tasnim Ishak telah memberikan satu interpretasi yang hanya perlu dibaca menerusi bahasa tubuh dan karakternya untuk memahami konfliknya.
Di kala kita memiliki segala-galanya terutama untuk kanak-kanak dan remaja hari ini, sebenarnya masih ada rakan sebaya mereka yang hidup dalam keadaan daif.

Namun, disebabkan semangat dan ‘kuasa’ seorang guru, segala kepayahan itu digantikan dengan sesuatu yang lebih baik dalam membentuk mereka menjadi seorang yang berguna pada masa hadapan.

Sebagaimana judulnya, begitulah peranan Cheryl Ann dan anak-anak muridnya yang menganggap diri masing-masing sebagai adiwira atau superhero. Kalau dilihat dalam konteks yang lebih besar, guru itu adalah adiwira dalam membentuk diri anak-anak selepas ibu bapa.

Menyentuh tentang lakonan pula, Sangeetha selaku pemain utama Adiwira Ku telah memberikan persembahan terbaik dan langsung tidak kelihatan canggung mahupun kekok dalam membawakan watak Cheryl Ann.

Ya, benar. Mungkin ada berpendapat lakonan Sangeetha menjadi kerana disebabkan bahasa perantara Adiwira Ku dalam bahasa Inggeris tetapi ia adalah bertepatan dengan watak guru itu sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: