Tuesday, March 14, 2017

Mawi Terima Tawaran 'Munafik 2', Selepas 7 Tahun Tidak Berlakon



Mawi bakal membuat kemunculan dalam filem Munafik 2.
AMPANG: Penyanyi Mawi memberitahu dia menerima tawaran untuk berlakon dalam filem Munafik 2 selepas tujuh tahun tidak terlibat dalam bidang lakonan.
Mawi, 36, berkata, dia menerima tawaran berkenaan atas dasar persahabatan yang dibina dengan pengarah filem tersebut iaitu Syamsul Yusof sejak bekerjasama menerusi lagu Kalah Dalam Menang.

"Saya dipelawa untuk terlibat dalam filem ini oleh Syamsul bulan lalu. Pada mulannya kata Syamsul watak tersebut kecil sahaja tapi skrip dibuat ia menjadi besar dan banyak babak.

"Saya terima tawaran ini sebab kami sudah berkawan baik. Saya akui lebih selesa bekerjasama bawah arahan pengarah yang saya kenal berbanding yang tidak kenal. Lagi pula saya rasa ini peluang yang baik," ujarnya.

Mawi ditemui pada majlis sidang media pelancaran filem Munafik 2 yang diadakan di Dataran Finas, di sini, malam Khamis lalu.
Barisan pelakon Munafik 2.
Pemilik nama sebenar Asmawi Ani ini kali terakhir terlibat dalam filem Magika pada tahun 2010.

Dalam pada itu, Mawi mengakui sedikit gementar untuk kembali ke lokasi penggambaran selepas sekian lama tidak berlakon.

"Sebelum ini memang ada beberapa produksi yang menawarkan untuk saya berlakon filem tetapi saya terpaksa tolak kerana komitmen yang tinggi.

"Tidak sangka sudah tujuh tahun tidak berlakon, memang ada sedikit rasa gementar untuk kembali ke set. Filem ini pula menjadi filem yang ditunggu-tunggu kerana untuk filem pertama, ia mendapat kutipan box office," ujarnya.

Selain itu, Mawi berkata, dia dan Syamsul bakal berduet sekali lagi untuk lagu tema filem seram berkenaan.

"Ada lagu yang akan kami rakamkan sebagai lagu tema filem ini dan sekarang masih dalam proses, saya sudah terima demo untuk lagu tersebut," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: