KOTA BHARU - Empat doktor menjadi antara peserta yang menyertai Tilawah Al-Quran anjuran Jabatan Kesihatan Kelantan.
Pegawai Kesihatan Daerah Kota Bharu, Dr Mohammad Zulkepli Othman berkata, Dr Muhammad Zulfahmi Haron dari Jeli, Dr Nik Hajrah Nik Ibrahim dari Kota Bharu, Dr Ahmad Akmal Ahmad Saberi dari Pasir Mas dan Dr Mohd Zaidi Mohd Noor dari Pasir Puteh.
"Jabatan Kesihatan Kelantan menganjurkan tilawah al-Quran setiap tahun sebagai langkah melengkapkan ilmu perubatan dengan sunnah al-Quran semasa merawat pesakit.
"Sebagai pegawai perubatan, merawat pesakit dengan memberi ubat sebagai rawatan secara fizikal yang perlu dipadukan dengan ayat al-Quran dan doa sebagai penawar dalam perubatan," katanya selepas Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Jabatan Kesihatan Kelantan di Balai Islam, Lundang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Awam, Dr Junaidden Mohd Zain dan Pengurus Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor.
Dr Mohammad Zulkiple berkata, sesibuk mana pun doktor, sebenarnya al-Quran adalah rapat dengan kerja kita termasuk semasa merawat pesakit yang dalam kesusahan (sakit).
"Selain ubat biasa, kita juga tahu ubat mujarab adalah al-Quran dan kita menggalakkan staf mengetengahkan al-Quran digunakan semasa bekerja" katanya.