KUALA LIPIS - Dua buah keluarga di Taman Muhibah Batu 4 di sini digemparkan dengan penemuan seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira tiga meter dan seberat 30 kilogram di atas siling kediaman mereka jam 5 petang semalam.
Seorang penghuni rumah, Jamaluddin Ismail, 43, berkata, kehadiran reptilia tersebut disedari jirannya yang melihat ekor haiwan berkenaan terjuntai dari siling dapur rumah yang pecah.
Menurutnya, jiran tersebut yang terkejut dengan kejadian itu terus bertindak menghubungi pihak bomba bagi membantu menangkap ular terbabit.
"Ular tersebut menyorok di atas siling antara tiga buah rumah termasuk sebuah rumah kosong yang terletak di lot hujung dan berhampiran dengan kawasan semak samun serta belukar.
"Pihak bomba terpaksa membuka atap rumah bagi mengesan reptilia berkenaan dan mengambil sedikit masa untuk mengeluarkannya dari dalam siling.
"Alhamdulillah ular tersebut telah dikesan berada di atas siling dapur rumah saya. Reptilia itu berjaya ditangkap sekaligus memberi sedikit kelegaan buat saya dan emak, Siti Esah Awang Mohamad, 76, serta jiran sebelah rumah,"katanya di sini, hari ini.
Jamaluddin berkata, kejadian kediaman penduduk dimasuki reptilia berbahaya itu bukanlah kali pertama berlaku malah ia mengundang rasa fobia dalam kalangan mereka.
Menurutnya, penduduk di taman perumahan itu turut menggesa agar pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah berkenaan dengan membersihkan semak samun dan belukar di premis kediaman mereka.
"Rumah yang terletak di lot hujung dan berhampiran dengan belukar itu telah lama tidak berpenghuni dan berpotensi menjadi sarang ular. Ada beberapa penduduk pernah memasuki rumah kosong terbabit dan mendakwa terdapat kesan kulit ular.
"Justeru itu, kita berharap agar pihak berkaitan cakna dengan masalah yang kami hadapi dan segera mengambil tindakan sewajarnya. Jangan ada yang cedera baharu hendak bertindak,"katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lipis, Haslizan Ramli berkata, sejurus menerima aduan daripada penduduk perumahan berkenaan, seramai empat anggota bomba telah bergegas ke tempat kejadian bagi menangkap reptilia itu.
Menurutnya, anggota bomba terpaksa membuka atap rumah bagi mencari ular yang dipercayai berada di atas siling tiga buah rumah.
"Kita mengambil masa lebih sejam untuk mencari dan mengesan kedudukan ular terbabit. Ianya agak sukar kerana kedudukan siling dan atap terlalu sempit menyebabkan bomba terpaksa membuka beberapa keping atap rumah penduduk.
"Sejurus reptilia berkenaan ditangkap kita bertindak melepaskan haiwan berkenaan di habitat asal iaitu di dalam hutan,"katanya.