Wednesday, March 8, 2017

Amar Asyraf Beri Kata Dua Kepada Produksi 'Putera La Galigo'



Walaupun mengakui tawar hati, Amar Asyraf tetap berharap teater Putera La Galigo dapat dipentaskan.
KUALA LUMPUR: Sikap tidak serius produksi teater bangsawan Putera La Galigo yang sepatutnya dipentaskan pada Disember tahun lalu bakal mengundang tindakan drastik salah seorang pelakonnya iaitu Amar Asyraf.

Menurut Amar, 31, dia tidak menolak kemungkinan untuk tarik diri daripada menjayakan teater berkenaan jika pihak produksi masih berteka-teki mengenai tarikh baharu pementasan itu.

"Saya difahamkan ia akan diteruskan tapi selepas raya Aidilfitri tahun ini. Tapi jika tiada apa-apa perkembangan, saya akan tinggalkan produksi.

"Maknanya saya beri (tempoh) sampai bulan Ramadan ni sahaja kerana jika nak pentaskan lepas raya, kami perlu mulakan latihan pada bulan puasa," katanya.

Amar atau Amar Asyraf Zailuddin berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan baharu teater arahan Ketua Jabatan Drama, Pusat Kebudayaan Universiti Malaya, Dr Rosdeen Suboh yang sepatutnya dipentaskan pada 16 Disember lalu.

Amar Asyraf (kiri) bersama barisan pelakon bangsawan Putera La Galigo iaitu Isa Khan, Tasha Shilla dan Wan Raja. -foto Instgram @theisakhan

Sebelum ini Keno Production selaku syarikat yang bertanggungjawab menerbitkan teater berkenaan memaklumkan penangguhan itu dibuat bagi melakukan ubah suai supaya karya tersebut menjadi lebih baik.

Akui Amar, sungguhpun sudah tawar hati dengan sikap produksi tersebut, dia bagaimanapun masih menaruh harapan untuk melakonkan watak utama sebagai Raja Lumu.

"Walaupun tawar hati, tapi saya nak buat (berlakon) juga sebab watak itu menarik. Saya nak orang tengok sisi lain saya sebagai pelakon.

"Apabila berlakon teater kita kena buat live action, saya mahu orang nilai kemampuan saya.

"Selain itu saya juga sudah beri komitmen yang tinggi termasuk belajar silat di luar set latihan," katanya.

Tambah Amar, dia juga tidak mahu pengorbanannya selama ini termasuk menolak beberapa tawaran berlakon drama terus menjadi sia-sia.

"Memanglah buat masa ini mereka suruh saya teruskan sahaja aktiviti seni seperti biasa.

"Tapi pada masa sama saya tetap ambil langkah berjaga-jaga dengan tidak menerima tawaran drama berepisod," katanya yang bakal muncul menerusi teledrama Cucu Atok yang akan ditayangkan di TV3 tidak lama lagi.

Selain Amar, pelakon lain yang turut terlibat dalam pementasan itu ialah Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Tasha Shilla, Isa Khan, Raja Azura, Hafizd Roshdi, Wan Raja, Harun Hashim, Zack Kool, Zarina Raja Lawak dan Aliff (AF).

Teater Putera La Galigo mengisahkan sejarah Kesultanan Selangor yang pertama dan ia bakal dipentaskan dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: