Tuesday, May 17, 2011

Transformasi pendidikan Unisel


Unisel melahirkan graduan cemerlang dan mempunyai sahsiah serta mampu memenuhi kebolehpasaran pekerjaan.


UNIVERSITI Selangor (Unisel) bakal menjadi antara universiti utama pilihan pelajar di negara ini melalui program transformasi pendidikan yang bakal dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah pelajar.

Naib Canselor Unisel, Datuk Dr. Rosti Saruwono berkata, transformasi tersebut akan melibatkan beberapa penambahbaikan modul pembelajaran dan program pengantarabangsaan pelajar.

"Unisel bakal melaksanakan program transformasi yang melibatkan perubahan kepada sistem penilaian modul yang berkesan supaya tidak hanya berasaskan peperiksaan semata-mata.

"Pelajar dititikberat dalam menyeimbang prestasi akademik serta kemahiran insaniah sejak mereka berada di tahun satu lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Memancing Bersama Media di Kelong Paradise Waterfront Resort Sabak Bernam, baru-baru ini.

Seramai 37 orang pengamal media terlibat menjayakan program itu.

Dr. Rosti berkata, bagi memperkasakan program pengantarabangsaanya pula, Unisel bercadang mensasarkan pengambilan lebih ramai pelajar dari luar negara untuk melanjutkan pelajaran mereka di universiti itu.

"Setakat ini, ramai pelajar luar negara seperti Sudan, Brunei, Singapura, Indonesia dan Iran sedang mengikuti pengajian di Unisel

"Dulu Unisel lebih fokus kepada pelajar tempatan tetapi sekarang kita ambil pelajar dari luar negara supaya pelajar - pelajar kita lebih terdedah kepada pengantarabangsaan.

"Kehadiran pelajar-pelajar antarabangsa ini secara tidak langsung membuktikan Unisel telah dalam mendokong aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi untuk mewujudkan persekitaran antarabangsa di kampus selain menjadi saingan kepada pelajar tempatan bersaing di arena akademik dalam membuktikan kecemerlangan diri masing-masing," katanya.

Selain itu, Dr. Rosti berkata, tahun ini Unisel turut mensasarkan lebih ramai pelajar semester akhir ke negara-negara ke luar negara bagi menjalani latihan industri dan praktikal.

"Pelajar semester akhir disaran buat latihan industri ke luar negara kerana banyak syarikat besar asing yang melabur di Malaysia mempunyai syarikat induk di negara masing-masing," katanya.

Selain itu, menurutnya, Unisel akan memperkenalkan satu kursus pembelajaran Sains Marin dan Samudera di bawah Fakulti Sains dan Teknologi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: