Monday, May 30, 2011

SMK Damansara Jaya johan debat bahasa Inggeris


Pasukan SMK Damansara Jaya, Petaling Jaya gembira meraikan kejayaan menjadi juara debat bahasa Inggeris Kolej Universiti HELP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Jaya, Petaling Jaya dinobatkan johan pertadingan debat bahasa Inggeris (BI) Kolej Universiti HELP peringkat kebangsaan setelah menewaskan Sekolah Menengah Sains Alam Shah pada peringkat akhir baru-baru ini.

Pendebat SMK Damansara Jaya, Daniel Ong Ying Yao berkata, kejayaan itu dicapai melalui kerja keras, dedikasi dan semangat berpasukan yang teguh.

"Kami bertuah kerana sokongan para guru dan tunjuk ajar daripada bekas pelajar telah membantu memantapkan persediaan pasukan untuk pertandingan ini," katanya.

Selain Daniel Ong, pasukan debat sekolah dari Petaling Jaya, Selangor ini diwakili oleh Timothy Sim Zhi-Xiang dan Khoo Ghee Ken (Tingkatan 5) serta Amanda Chan Po Ean (Tingkatan 4) selaku pendebat simpanan.

Pemenang pertandingan menerima partial scholarship daripada penganjur, Kolej Universiti HELP bernilai RM12,000 setiap seorang, piala pusingan, wang tunai RM5,000, televisyen LCD dan komputer riba untuk sekolah, telefon bimbit, kamera digital serta langganan majalah doctorjob's coursesNOW! selama satu tahun kepada setiap ahli pasukan.

Manakala Ghee Ken sebagai pendebat terbaik, menerima biasiswa penuh daripada Kolej Universiti HELP bernilai RM20,000, wang tunai RM500, telefon bimbit dan piala.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan HELP, Dr. Khong Kim Hoong berkata, minat sekolah untuk menyertai pertandingan debat BI semakin meningkat dan tahun ini menyaksikan 100 pasukan mengambil bahagian.

Menurut beliau, pertandingan ini bertujuan menggalakkan pelajar sekolah menengah untuk mengasah kemahiran bertutur dan berkomunkasi dalam BI di samping mengukuhkan kemahiran berhujah serta berfikiran kritis.

"Ia membantu pelajar untuk menyusun atur pemikiran masing-masing berdasarkan penyelidikan yang telah dilakukan," ujarnya.

Pertandingan tahunan ini berjaya membantu pelajar mengusai BI dengan lebih baik dan meningkatkan kemahiran pengucapan awam mereka di samping melonjakkan keupayaan untuk melakukan kajian berkaitan isu semasa serta topik berkaitan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: