INSAN ini amat teliti dengan bunyi-bunyian, justeru tidak hairanlah banyak bunyi dan irama baru akan terlontar jika dia menyertai mana-mana persembahan permainan alat genderang (percussion) bersama rakan-rakannya.
Apabila Megat Azuar Musa, 42, memberitahu hampir semua alat muzik unik koleksinya terhasil melalui ilham yang singgah di kepala dan kemudian diterjemah sendiri menjadi alat muzik, telinga seakan tidak percaya mendengar realiti ini.
Secara tidak langsung wujud jurang antara dirinya dengan pemain alat genderang (percussionist) lain apabila dia sentiasa ‘mencari’ bunyi-bunyian baru mengikut inspirasi dan naluri, lalu mencipta alat muzik yang berupaya mengeluarkan bunyi imaginasi.
“Inspirasi kini menjadi hobi. Walau cara saya pukul, palu atau tepuk gendang nampak sama sahaja dengan orang lain, tapi kalau diamati betul-betul, bunyinya tak sama,” katanya kepada Mingguan mStar.
Melihat hasil kerjanya yang sempurna, pasti ramai yang menyangka dia serius dalam salah satu bidang; muzik atau pertukangan, namun bapa kepada dua anak ini sebenarnya hanya bertukang membuat alat muzik di rumah sekadar memenuhi masa lapang dan jika dia dijemput mengadakan persembahan.
“Saya suka bertukang dan minat muzik instrumental. Bila dua minat ini digabungkan, macam inilah jadinya,” katanya yang mempunyai bisnes sendiri.
Kreatif
KETIKA ditemuramah, tangan dia rancak menepuk dua conga separuh ketinggiannya.
Conga tersebut bukan dihasilkan sendiri, namun sudah cukup mengagumkan apabila dia memberitahu besi tempat letak conga (conga stand) itu adalah rekaannya.
“Masa persembahan, conga perlu dipegang. Saya reka conga stand sebab nak main banyak jenis gendang dalam satu persembahan.
“Sebagai multi-percussionist, saya kena kreatif dan pantas. Saya pernah saya main lapan conga dalam satu masa,” katanya.
Rekaan Megat Azuar, kick bass yang dicipta bagi menghasilkan bunyi bass drum juga tidak kurang hebatnya.
Speaker yang dipasang terbalik pada kayu empat segi terpakai dan dibaluti permaidani terpakai itu berupaya mengeluarkan bunyi hampir sama apabila pemain drum bass memukul drum di pentas.
“Ilham mencipta kick bass saya dapat bila tersalah pasang wayar speaker dan mikrofon dalam satu majlis.
“Alat ini unik kerana dalam masa yang sama saya juga dapat main foot shekere,” sambil menunjukkan cara bermain kick bass dan foot shekere secara serentak.
Foot shekere adalah alat yang akan berbunyi apabila manik yang diikat dengan tali bersentuhan dengan mangkuk kayu.
Dia memadankan cymbal stand dan extension cymbal stand yang ada pada set drum untuk menghasilkan alat muzik ini.
Seni barang terpakai
Terhasilnya sesebuah alat muzik dengan keringatnya sendiri, maka itulah kepuasan yang dicari-cari Megat Azuar.
Walau tidak memerlukan kos yang besar, namun hobi ini dianggap mencabar dan menuntut kesabarannya.
“Setakat ini saya banyak guna barangan terpakai dan sedia ada. Saya cuba guna apa yang ada dulu. Kalau kena beli, saya beli,” katanya sambil menunjukkan pula djambe dan gendang dikir.
Kayu dan kulit untuk membuat djambe adalah percuma, begitu juga ukiran di bahagian bawah alat ini yang dibuat seorang teman.
Cabaran timbul ketika dia mengikat tali berbentuk berlian di sekeliling kayu bulat.
“Kalau salah ikat bunyi tak menjadi dan mungkin bunyinya tak kekal lama. Ikatannya nampak cantik tapi ramai tak tahu bentuk dan cara ianya ada fungsi. Begitu juga jenis tali yang digunakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: