CUBA tanya pada diri sendiri apa faedahnya merokok yang sekadar menyedut asap semata-mata - bukan saja tidak mengenyangkan tetapi boleh diibaratkan seperti ‘membakar’ duit.
Biarpun begitu, masih ramai yang menganggap merokok mampu melegakan tekanan dan bagi lelaki menampakkan diri lebih ‘jantan’ dan bergaya.
Malah, sesetengah perokok terutama wanita mendakwa dengan merokok mereka dapat kekal kurus.
Hakikatnya perbuatan tidak bermanfaat tersebut mengundang pelbagai penyakit berbahaya bukan saja pada diri sendiri malah orang kelilingnya.
Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga yang dijalankan pada 2006 di bawah Kementerian Kesihatan mendapati tiga juta penduduk di Malaysia adalah perokok.
Daripada jumlah tersebut 2.8 juta adalah perokok dewasa manakala selebihnya remaja bawah umur.
Malah angka tersebut dijangka akan meningkat kepada 4.6 juta orang menjelang tahun 2025 nanti.
Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Datuk Dr. Abdul Razak Muttalib berkata, keadaan itu amat merisaukan pihak kerajaan kerana ia membabitkan kos yang tinggi bagi urusan memberi rawatan dan sokongan.
Katanya, di seluruh dunia lebih kurang lima juta kematian setiap tahun dicatatkan akibat merokok atau penyakit yang berkaitan dengan merokok.
Menurutnya, selain remaja, jumlah perokok wanita juga semakin membimbangkan kerana kebanyakan mereka mudah percaya dengan dakwaan iklan-iklan rokok yang kononnya merokok boleh mengurangkan berat badan.
“Ada sesetengah iklan mendakwa dengan merokok mereka boleh mengurangkan berat badan dengan mudah dan sesetengahnya pula tertarik dengan pembalut rokok itu sendiri," katanya pada majlis pelancaran laman sesawang sosial www.champscircle.com sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia, yang jatuh pada 31 Mei.
Laman yang diperkenalkan oleh syarikat farmaseutikal terkenal, Pfizer, itu bertujuan membantu individu yang ingin berhenti merokok.
Penasihat Perubatan Pfizer, Dr. Kamlanathan berkata, laman tersebut sahaja membantu golongan perokok tegar untuk berhenti merokok melalui perkongsian pengalaman dan panduan-panduan tertentu.
Katanya, laman sosial ini membantu perokok mencari penyelesaian realistik dan praktikal bagi menghentikan tabiat buruk mereka.
“Jika anda seorang perokok tegar semestinya amat sukar untuk berhenti merokok tetapi melalui penyertaan laman web ini ia mampu memberi petua-petua yang praktikal yang boleh membantu anda berhenti merokok,’’ ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: