Monday, May 30, 2011

Sijil halal jadi aset perniagaan


TENGKU MUHAMMAD FA-IZ PETRA (kanan) menerima cenderamata daripada Pengarang Berita Kosmo!, Samsor Junet (dua dari kiri) sambil disaksikan oleh Mashitah (tiga dari kanan) selepas merasmikan Karnival Halal Kelantan di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Industri halal di negara ini semakin rancak apabila ramai usahawan bukan Islam turut menunjukkan kesedaran yang tinggi untuk mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ma- shitah Ibrahim berkata, dorongan itu bukan setakat dipengaruhi oleh pengguna Islam yang ramai di negara ini, tetapi juga pasaran industri halal Malaysia sehingga mampu menjana ekonomi mencecah RM45 bilion setahun.

Katanya, sijil halal yang dikeluarkan di Malaysia merupakan alat promosi terbaik dan menerima pengiktirafan tinggi di luar negara.

"Pasaran halal global sangat besar dan mencecah sehingga RM2 trilion setahun kerana disokong oleh populasi 1.5 bilion umat Islam.

"Di negara ini pula ia menjana ekonomi sebanyak RM45 bilion, justeru peluang ini wajar diambil oleh semua pihak," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Halal Kelantan di sini semalam.

Perasmian karnival selama tiga hari itu yang bermula semalam disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha dan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: