PERTANDINGAN boling di Mega Lane, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada pertengahan Mei lalu bukan satu acara biasa. Sebaliknya, ia menjadi peristiwa bersejarah kepada kumpulan bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Hishamuddin (SAMH), Sungai Bertih, Klang, Selangor tahun 1984-88.
Selepas suku abad tidak bertemu, seramai 40 orang bekas pelajar SAMH berkenaan yang kini berusia kira-kira 39 tahun, menjadikan sukan boling sebagai medium untuk menyimpul kembali ikatan persahabatan yang telah terputus itu.
Teruja dengan pertemuan tersebut, kelibat peserta dan ahli sekretariat acara tersebut sudah kelihatan di Plaza Alam Sentral seawal pukul 8.30 pagi.
Ada peserta yang tiba bersama ahli keluarga dan tidak kurang pula yang membawa rakan-rakan sekali gus memeriahkan lagi acara itu.
Disebabkan sebahagian besar peserta bukanlah kaki boling sebelum ini, bermacam ragam dapat disaksikan. Jika pemain boling negara, Shalin Zulkifli boleh melakukan sehingga 270 jatuhan pin untuk satu permainan, ada peserta pertandingan ini yang sekadar mencatat mata di bawah 70 kerana bola lebih banyak masuk ke longkang daripada mengenai sasaran.
Namun, pelbagai gelagat lucu itulah sebenarnya yang telah menghangatkan kembali persahabatan mereka.
Lebih istimewa, acara yang bersifat kekeluargaan itu membabitkan penyertaan daripada suami dan anak-anak bekas pelajar sekolah tersebut sebagai peserta pertandingan boling.
Acara tahunan
Seorang bekas pelajar, Nurul Akmar Ahmat Suhaimi, mengakui program tersebut cukup bermakna kerana walaupun masing-masing sibuk dengan kerjaya dan tinggal berjauhan, mereka masih sanggup datang untuk bertemu kawan-kawan lama.
Beliau juga mengharapkan program itu dapat dijadikan acara tahunan kerana sambutan yang diberikan begitu menggalakkan walaupun ia pertama kali dianjurkan.
“Pada saya, inilah masanya untuk kita bersosial dengan cara yang lebih dewasa dan positif serta menenangkan fikiran yang kusut akibat tekanan kerja,” kata ibu kepada empat orang anak itu.
Guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Naga, Klang itu mencadangkan supaya pertemuan seperti itu dibuat dari semasa ke semasa selain mengadakan majlis minum petang atau makan malam.
Seorang lagi bekas pelajar, Azura Hashim, dari Jenjarom, Kuala Langat berkata, kegembiraan bertemu rakan-rakan semasa remaja itu sukar dilupakan.
“Mungkin pada masa akan datang kita boleh anjurkan program memasak atau rombongan melancong ke tempat-tempat menarik,” katanya yang hadir bersama suami dan dua daripada tiga orang anaknya.
Acara boling yang berlangsung selama hampir lima jam itu juga terasa lebih bermakna dengan kehadiran bekas tenaga pengajar SAMH, Hashim Fahmi Ahmad Shauqi.
“Saya berasa sangat bertuah dapat bersama bekas pelajar-pelajar saya.
“Pertemuan ini begitu unik kerana sebahagian besar bekas pelajar ini baru beberapa bulan bertemu semula di Facebook setelah begitu lama terpisah tanpa khabar berita.
“Malah, saya juga mengetahui acara ini melalui laman sosial itu,” katanya.
Semangat berpasukan
Beliau juga sempat berpesan supaya bekas pelajarnya mengajar anak-anak mereka bersembahyang dan membaca al-Quran kerana hanya dua perkara itu yang dapat memandu mereka ke arah kehidupan yang lebih baik.
Sementara itu, salah seorang ahli sekretariat program tersebut, Rozi Aminuddin menyifatkan acara yang julung-julung kali diadakan itu berjaya meskipun bukan semua bekas pelajar sekolah terbabit menyertainya.
“Pada peringkat awal, ramai yang ragu-ragu untuk menyertai pertandingan ini.
“Namun, setelah beberapa bulan menjejak rakan-rakan sekolah melalui Facebook dan bertungkus-lumus membuat persediaan, akhirnya program ini menjadi kenyataan.
“Insya-Allah kami akan berusaha untuk menjejak lebih ramai kumpulan pelajar SAMH 1984-88 yang dianggarkan berjumlah 200 orang itu supaya turut serta dalam program lain yang akan diadakan nanti,” kata Rozi yang juga pengarah syarikat pengiklanan People & Bell Sdn. Bhd.
Beliau juga menyeru mereka supaya tampil memberi sumbangan dalam bentuk idea, tenaga atau dana untuk aktiviti dan projek yang bakal dibuat.
Menurut Rozi lagi, apa yang lebih istimewa adalah semangat kerja berpasukan rakan-rakannya dalam memastikan pertandingan boling baru-baru ini berjaya meskipun masing-masing dibelenggu kesibukan bekerja.
“Kalah atau menang bukanlah isunya dalam pertandingan ini. Hasrat kami adalah mahu bertukar-tukar fikiran dan mengetahui perkembangan terkini kawan-kawan lama lebih-lebih lagi masing-masing sudah berkeluarga,” kata seorang lagi ahli sekretariat program tersebut, Lokman Mohd. Bisri yang mengutip 315 mata. Dalam pertandingan tersebut, Kumpulan 2 berjaya menewaskan tujuh kumpulan lain dengan kutipan 1,190 mata.
Meskipun ada yang tidak dapat menghadiri program tersebut, mereka tetap menyumbang dana dan tajaan. Antaranya ialah pemilik Sri Keningau Restoran & Katering dan syarikat Cipta Edar DHO Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: