Tuesday, May 31, 2011

Selepas emas, warga India kejar perak pula


SEORANG peniaga perak menimbang barangan kemas yang diperbuat daripada logam itu di Ahmedabad, India. Peningkatan harga perak menyaksikan barangan yang diperbuat daripada logam tersebut dikitar semula untuk ditukarkan dalam bentuk jongkong bagi memudahkan ia diniagakan.


NEW DELHI 30 Mei - India, pengguna emas terbesar dunia, kini giat menyimpan perak untuk mendapatkan keuntungan yang lebih tinggi daripada kenaikan harga berbanding emas.

Permintaan bagi perak yang kini diniagakan pada kira-kira 58,500 rupee sekilogram (RM4,034), melonjak di seluruh India apabila jualan mencecah 600 tan metrik hingga April, sedangkan jumlah penggunaan tahun lepas hanya 2,800 tan metrik.

Di bandar-bandar utama India, emas diniagakan pada kira-kira 22,820 rupee (RM1,574) bagi setiap 10 gram.

"Harga emas terlalu tinggi, jadi orang lebih banyak membeli perak kerana ia lebih murah dan kadar peningkatannya lebih tinggi. Mereka beralih kepada perak bagi tujuan pelaburan.

"Jika monsun baik, permintaan bagi perak tahun ini dengan mudah boleh mencecah 3,500 hingga 4,000 tan metrik," kata Presiden Persatuan Jongkong Bombay, Prithviraj Saremal Kothari kepada Bernama.

India mengimport hampir 800 tan metrik emas setahun dan 3,000 tan metrik perak bagi menampung penggunaan tempatan. Tetapi, emas, yang dianggap sebagai barangan yang membawa tuah di kalangan isi rumah India, masih menikmati permintaan tinggi.

Selepas musim panas yang sangat terik, petani-petani India menunggu musim monsun tiba, yang boleh menghasilkan tuaian yang lebih baik sekali gus menghasilkan lebih banyak wang bagi mereka.

Yang menariknya, sebahagian besar penduduk pedalaman India merupakan pembeli perak terbesar.

"Sebanyak 75 peratus penduduk pedalaman India membeli perak, jadi, permintaan bagi masa akan datang bergantung kepada monsun," kata Kothari.

Seperti pada masa-masa lalu, permintaan dijangka muncul dari kawasan pedalaman India, yang merupakan tempat tinggal 65 peratus daripada penduduk India dan kebanyakan mereka melabur dalam barang kemas.

"Pendapatan di kawasan pedalaman India telah meningkat disebabkan hasil daripada musim monsun yang baik, pengeluaran lebih tinggi dan disebabkan oleh skim-skim guna tenaga kerajaan. Monsun kali ini dijangka lebih baik," kata Anjani Sinha, Ketua Pegawai Eksekutif National Spot Exchange Ltd. yang berpangkalan di Mumbai.

Golongan pertengahan India yang semakin ramai memasuki pasaran perak dan pelancaran e-perak yang memperkenal penjualan dan pembelian dalam talian, terus mencetuskan permintaan bagi logam itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: