PARIT: “Saya akhirnya ‘dilamar’ tetapi bukan daripada jejaka untuk dipinang, sebaliknya tawaran berlakon dalam sebuah telefilem,” kata ratu miming, Roshida Abd Aziz, 30, (gambar) atau dikenali sebagai Cikgu Shida yang kini popular di kalangan pelayar Internet tempatan apabila klip video miming diciptanya meraih populariti luar biasa selepas ditayangkan di laman web Youtube.
Cikgu Shida yang masih bujang dilamar sebuah syarikat perfileman baru-baru ini untuk berlakon dalam sebuah telefilem bertajuk ‘Cikgu Shida Cari Jodoh’ yang bakal ditayangkan pada Aidilfitri depan.
Telefilem 90 minit itu akan memulakan penggambaran Jumaat ini, dan paling menarik, Cikgu Shida akan tampil sebagai pelakon utama.
Cikgu Shida yang ditemui di kediamannya di sini semalam berkata, dia menerima tawaran itu dan menganggap ia rezeki buatnya, malah tidak sabar-sabar mahu mencuba bidang baru itu.
“Tajuknya menarik... Cikgu Shida Cari Jodoh, malah saya difahamkan telefilem itu berkisar mengenai seorang cikgu wanita yang gila-gila selain turut menyelitkan kisah suka duka dan kehidupan seorang cikgu.
“Ini mungkin rezeki baru saya dan ‘lamaran’ ini cukup untuk mengubat segala duka saya sepanjang terbabit dalam hobi berkenaan. Saya mengakui tidak sabar-sabar mahu mencuba lapangan (telefilem) baru yang lebih mencabar itu,” katanya.
Katanya, dia tidak menyangka perangai gila-gilanya yang dipaparkan dalam klip miming itu menarik minat sebuah syarikat perfile man, seterusnya mengabadikannya di layar perak.
Cikgu Shida berkata, cubaannya menampilkan pelbagai ekspresi muka dan gaya serta solekan dan serta berlatarbelakangkan barangan terpakai yang dibuat untuk suka-suka akhirnya diterima masyarakat.
Mengimbau kembali pembabitannya dalam bidang seni itu, guru Bahasa Inggeris Sekolah Rendah Kebangsaan Pulau Padang, Bota Kiri itu berkata, dia pernah dicerca, dihina dan tidak kurang dianggap menghidap sakit mental.
“Saya mengambil semua tohmahan itu sebagai sesuatu yang positif dan ia tidak melemahkan hasrat saya untuk mencari hiburan tersendiri, di samping berkongsi pengalaman bersama rakan di Facebook,” katanya.
Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, setakat ini keluarganya tidak kisah dengan hobinya kerana mereka sudah ‘masak’ dan faham perangai ‘gila-gila’nya.
“Begitu juga rakan sejawatan, malah mereka memahami jiwa dan watak saya yang suka mencari kelainan,” katanya.
Cikgu Shida satu-satunya anak perempuan pasangan pesara tentera, Abd Aziz Shafie, 73, dan Latifah Ramli, 63, dan faktor itu mungkin menjadi kekuatan utama untuk dia menyerap semua tekanan dihadapi.
Terkini, klip mimingnya bertajuk ‘Kalau Berpacaran’ nyanyian Suhaimi Mior Hassan dan Ana Raffali yang dimuat turun melalui laman Facebook menghampiri dua juta pelawat sejak lima bulan lalu.
Malah, miming itu juga menarik hampir 10,000 ahli daripada pelbagai bangsa dan keturunan, selain mendapat pujian rakannya di luar negara termasuk Britain, Amerika Syarikat dan Australia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: