Sunday, May 29, 2011

Fazura, Hardy ada hati

pix_middle

SEKALI pandang pada gadis jelita berblaus rona jingga bertudung hitam yang memasuki ruang legar Masjid Wilayah, Jalan Duta, petang Selasa lalu, pasti sukar menduga yang dia adalah pelakon popular, Nur Fazura Sharifuddin, 28.

Namun apabila terus diamati wajah mulus bergincu tipis itu, ternyata dialah orangnya. Lain benar penampilannya jika diimbas semula lagak ranggi dalam filem Pisau Cukur. Itulah wajah terbaru Fazura yang memegang watak Mustika dalam drama terbaru arahan Erma Fatima, Kitab Cinta, yang bercorak Islamik untuk TV Al Hijrah.


Menyesuaikan dengan jalan cerita drama itu, Fazura digandingkan dengan pelakon segak yang sedang meningkat naik di Indonesia, Hardy Hartono, 27. Pertemuan dua pelakon itu sebagai insan yang mempunyai tautan hati pasti dinantikan oleh peminat drama Melayu apatah lagi lakonan Fazura yang jarang menghampakan.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Rakaman di masjid itu menggambarkan pertemuan semula Mustika dan Wali (Hardy). Walaupun masing-masing 'ada hati' tetapi cinta mereka sukar bersatu kerana ada pihak lain turut memendam rasa pada Mustika.


Penggambaran drama itu dilakukan di Malaysia dan Acheh kerana mengisahkan Mustika yang berasal dari keluarga berada jatuh cinta dengan jejaka Acheh iaitu Wali. Selepas 12 hari menjalani penggambaran di sana, kru produksi dan pelakon menyambung penggambaran di Kuala Lumpur.


Berbual dalam masjid yang cukup indah dan mendamaikan itu, Fazura berkata, dia sudah terlalu biasa membawakan gadis remaja seperti dalam filem dan drama Gol & Gincu serta gadis moden dalam Pisau Cukur.

"Lama saya tidak mendapat naskhah begini. Balik-balik orang tengok saya bawa watak sama. Apabila saya terbaca dalam akhbar Kak Erma akan membuat drama Kitab Cinta yang bercorak agama, langsung saya tertarik untuk mengetahui jalan ceritanya sehingga saya sanggup tawarkan diri berlakon drama itu.

"Kebetulan sudah lama tidak berlakon drama dan pastinya jika mahu muncul semula di kaca TV, mestilah dengan peranan yang lebih bagus dan bukan seperti kebiasaannya. Kitab Cinta bukan saja menghidangkan jalan cerita yang menarik malah skripnya juga mantap.

"Paling menambat hati saya watak utama, Mustika bertudung dan perkara lain yang membuatkan saya mahu sangat terbabit dalam drama ini kerana Kak Erma mahu menggandingkan Mustika dengan hero filem Ayat Ayat Cinta, Fedi Nuril.

"Pun begitu Fedi tidak jadi diambil berlakon dalam Kitab Cinta dan tempatnya digantikan Hardy. Tetapi ia bukanlah alasan untuk saya mengundurkan diri kerana inilah jalan cerita dan watak yang saya mahukan.

"Saya mahu menampilkan Nur Fazura yang 'baru' kepada penonton kerana belum pernah saya berlakon pakai tudung. Penggambaran Kitab Cinta dimulakan di Acheh dan cuaca yang panas terik di sana membuatkan pada mulanya saya rimas bertudung. Jarang tudung 'lekat' lama di kepala saya.

"Selepas beberapa hati bertudung, barulah saya rasa selesa. Sejak mengenakan tudung untuk drama ini, saya juga rasa seronok kerana apabila makan di luar, tiada yang perasan saya. Selepas beberapa ketika menikmati hidangan, barulah ada yang menegur untuk memastikan yang saya adalah Fazura dan keadaan itu membuatkan saya bebas berada di luar.

"Insya-Allah doakan yang terbaik untuk saya agar suatu hari nanti saya terus kekal bertudung. Ada rancangan hendak mengerjakan fardu haji dan mungkin saya akan bertudung selepas bergelar hajah. Harap segala apa yang dicita-citakan akan berjalan baik," katanya.

Menceritakan pengalamannya berlakon dengan Hardy, jelas Fazura, jejaka itu sangat pemalu namun atas nama kerja, keserasian segera wujud antara mereka berdua.

"Hardy seorang model, pelakon filem dan sinetron. Mudah bekerja dengannya yang tidak banyak kerenah. Pengalaman yang ada padanya menyebabkan dia senang faham arahan dan kami saling membantu untuk menghidupkan watak Mustika dan Wali," katanya.


Menceritakan pula kenangannya di wilayah yang pernah dilanda tsunami maha dahsyat itu, Fazura berkata, sejak mendengar kisah sedih melanda Acheh pada 26 Disember 2004, dia teringin benar bersolat di Masjid Raya Baiturrahman yang kekal berdiri kukuh di tempat asalnya.

"Alhamdulillah, dapat juga saya menjejakkan ke masjid itu dan bersolat di dalamnya. Kesan tsunami yang lain seperti kapal yang masih ada di tengah bandar itu, amat menginsafkan. Ramai lagi mangsa tsunami yang tiada rumah," katanya.

Tambahnya, selepas ini jika ada lagi tawaran berlakon dalam filem bercorak Islamik, Fazura rela menerimanya.

Hardy yang ada sama pada pertemuan itu berkata, dia berbangga dapat bekerjasama dengan produksi Malaysia tambahan Erma memberi kebebasan kepadanya untuk membentuk karakter dan melontarkan dialognya. Peluang dapat berlakon dengan produksi tempatan itu sangat mengujakan apatah lagi katanya, dapat berlakon di samping Fazura yang banyak membantunya di lokasi.

"Fazura pelakon yang bagus dan dia sangat 'memberi' menyebabkan saya dapat menghayati watak Wali dengan baik. Sebelum ini saya tidak pernah menonton filem dan drama dari Malaysia serta tidak kenal pelakon dari negara ini, namun sudah rezeki saya dapat tawaran daripada Kak Erma.

"Saya bersama pelakon lain menjalani uji bakat dengan Kak Erma di Indonesia dan sungguh bernasib baik kerana terpilih. Peluang ini saya gunakan sebaik mungkin untuk memperkenalkan diri saya kepada masyarakat di sini," katanya yang pernah membintangi filem Not For Sale, Pengantin Topeng dan Cinta Lama Belum Kelar serta sinetron Aqso dan Madina (sedang ditayangkan di TV9), Nikita dan Aurat.

"Saya suka jalan cerita Kitab Cinta yang banyak pengajaran terutama untuk penonton muda dan tidak sabar untuk kembali ke lokasi musim kedua Kitab Cinta. Tiada bezanya bekerja dengan produksi di Malaysia atau Indonesia. Cara kerjanya sama saja. Kru drama ini juga melayan saya dengan baik dan terasa hubungan kami begitu rapat serta mesra.


"Kak Erma bukan hanya pengarah tetap juga sudah dianggap seperti ibu dan kakak saya. Kalau dia menegur pun, tidak pernah buat saya kecil hati kerana saya tahu dia sekadar mahu mengajar.


"Tiada masalah untuk saya bekerjasama dengan mereka sekali lagi. Sebagaimana Fazura, saya pun kali pertama dapat watak seperti ini dan kagum dengan peribadi Wali. Dia bukanlah sesiapa tetapi pegangan agamanya sangat kuat sehingga mampu mengubah watak dan peribadi Mustika yang sudah biasa hidup bebas," katanya.


Menyentuh dirinya di luar lokasi yang pemalu dan pendiam, Hardy yang sering melemparkan senyuman manis itu mengakuinya tetapi kerana minat yang mendalam dalam bidang seni, dia berusaha mengikis perasaan itu jauh-jauh apabila berada di pentas peragaan dan depan lensa.


"Awalnya saya memilih bidang peragaan dan kemudian baru tahu yang saya boleh berlakon, lalu saya mencuba. Terus jatuh cinta dan kekal dalam kerjaya baru ini yang memberi pelbagai pengalaman kepada saya," katanya yang berasal dari Bintaro, Jakarta Selatan.


Kali pertama Hardy menjejakkan kaki ke negara ini ketika menghadiri majlis perkahwinan sahabat baiknya, Bunga Citra Lestari dengan Ashraf Sinclair.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: