Sunday, May 29, 2011

Aneka rasa stimbot




ANDAI memilih Pahang sebagai destinasi pelancongan, jangan lupa singgah bertamu dan menjamu selera di Restoran Makan-makan House di Jalan Temerloh Mentakab, Pahang.

Lebih seronok menjamu selera bersama keluarga, layanan mesra warga kerja restoran itu membuat anda bagaikan berada di tempat sendiri.

Pengusaha restoran, Rafidah Abdul Majid yang ramah-tamah orangnya berkata, sambutan yang diterima kalangan penduduk tempatan begitu menggalakkan.

Disebabkan terlalu 'gilakan' hidangan stimbot , Rafidah akhirnya membuat keputusan untuk cuba memulakan bisnes restoran stimbot sendiri.

Dia mendapat idea untuk membuka restoran berkenaan apabila mendapati ramai di kalangan penggemar hidangan stimbot di Pahang terpaksa melintas negeri khususnya Kelantan semata-mata untuk menikmati hidangan tersebut.

Katanya, kesukaran untuk mencari restoran stimbot yang dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera juga antara faktor yang mendorongnya untuk membuka restoran berkenaan pada Disember tahun lalu.

"Restoran stimbot saya ini menghidangkan stimbot sebagai menu utama. Walau bagaimanapun, kami juga menghidangkan masakan lain sebagai pilihan tambahan buat pelanggan termasuklah masakan barat dan Melayu," katanya yang memberitahu restorannya menjadi tumpuan pelbagai bangsa dan latar belakang.

Restoran ini sering menjadi pilihan penduduk sekitar Temerloh dan Mentakab khususnya bagi mereka yang berkeluarga.

Menyediakan menu secara bufet, restoran ini menyediakan sajian makan malam yang boleh dipilih sendiri dan tidak terhad.

Katanya, ''Restoran Makan-makan House menyediakan stimbot, BBQ, adunan Asia, makan malam ala Jepun, Korea dan Thai.”

Lari daripada kebiasaan, pihak restoran juga menyediakan kemudahan merebus atau memanggang menggunakan alatan khas pada masa yang sama.

“Uniknya, pelanggan dapat memilih sama ada merebus mahupun memanggang makanan yang mereka kehendaki atas dapur menggunakan arang,” katanya.

Bukan setakat hidangan stimbot sahaja, nasi goreng , mee goreng, pelbagai pilihan pencuci mulut juga disediakan.

Ditanya lanjut, Rafidah memberitahu, dengan bayaran RM 13, pelanggan boleh makan lagi, makan tambah lagi, makan sepuas-puasnya dan makan banyak pun tidak apa kerana itu adalah konsep restoran ini.

Dengan harga serendah itu, pelanggan boleh menikmati hampir 20 pilihan menu.

Selain Mentakab, Rafidah bercadang membuka cawangan di Bera, Pahang.

Restoran ini beroperasi tujuh hari seminggu dan dibuka mulai 5 petang hingga 12 tengah malam.

Pihaknya juga menerima tempahan untuk majlis keraian seperti majlis hari jadi dan ulang tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: