Monday, May 30, 2011

Inspirasi moden resort


SCARLETT dipilih sebagai wajah musim panas/bunga Mango 2011 dan ia adalah kontrak terakhir beliau untuk jenama ini.


JENAMA fesyen antarabangsa Sepanyol yang tidak asing lagi iaitu Mango tidak ketinggalan menyerikan sambutan musim bunga dan panas 2011 dengan koleksi terbaharunya yang mengangkat inspirasi modenist resort.

Ia melambangkan rekaan yang moden tetapi ringkas dan dipengaruhi siluet minimalis yang memberikan pengaruh tenaga melalui warna-warna terang dan kontras grafik dalam garisan.

Pilihan fabrik yang telus pandang dan ringan memberikan suntikan nakal dalam menghasilkan rekaan berwajah moden ini. Skirt yang lebih panjang dan kembang pula menawarkan pergerakan selesa dan sensualiti.

Dalam pada itu, pakaian lelaki pula dihiasi perincian bagi memberikan kelainan pada rekaan klasiknya yang dihasilkan menggunakan fabrik kapas yang lembut. Penampilan jejaka yang moden turut dipengaruhi palet warna seperti warna lemon terang dan hijau.

Warna-warna ini memberikan mood segar manakala warna merah jambu atau warna asas dengan kombinasi kontras ton emas menyatakan penampilan mewah pemakainya.


HIMPUNAN yang menterjemah gaya klasik dan sedikit etnik.


Musim kali ini juga, koleksi pakaian lelaki mengetengahkan elemen sukan retro. H.E. oleh Mango melancarkan koleksi yang menterjemah gaya klasik dan sedikit etnik.

Ia juga memberikan mood natural dalam penggunaan warna dan fabrik. Sentuhan warna-warna terang, seperti merah, oren dan kuning memberikan pengaruh cahaya kepada palet, manakala warna biru memberikan sentuhan retro marin.

Dalam pada itu, aktres terkenal Amerika Syarikat (AS) Scarlett Johansson sekali lagi menjadi wajah kempen musim bunga dan panas Mango 2011 dan merupakan musim terakhir aktres ini menjadi model untuk jenama ini.

Mango yang pertama kalinya dibuka pada tahun 1984 di Barcelona kini mempunyai lebih 1,900 kedai di 105 negara. Sepanyol adalah pengeksport kedua terbesar fesyen ini di dunia dengan konsep berasaskan kombinasi produk berkualiti dan trend fesyen terkini pada harga berpatutan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: