Tuesday, May 31, 2011

Kenangan yang memang mengusik jiwa


TEATER Muzikal Kenangan Mengusik Jiwa...60-an meriah dengan elemen tarian dan nyanyian.


RAMAI yang tertanya-tanya apakah kehebatan teater Muzikal Kenangan Mengusik Jiwa...60-an yang membariskan ramai penyanyi popular era 60-an dan mempertaruhkan bakat dua penyanyi muda Dafi dan Ana Raffali.

Ternyata pertaruhan yang dilakukan penerbit Afandy Alias dan pengarah persembahan Lokman Ghani menjadi. Penonton dihiburkan dengan latar dua zaman yang berbeza iaitu tahun 2011 dan tahun 1960-an yang begitu meriah dengan pelbagai tarian dan nyanyian.

Tidak ketinggalan elemen percintaan pada zaman 60-an antara Rey (Dafi) dan Rose (Ana Raffali) yang merupakan penggerak cerita dan kekuatan utama teater muzikal ini.

Bagaimanapun disebabkan durasi persembahan yang agak panjang iaitu hampir tiga jam meresahkan penonton yang hadir ketika sesi tayangan untuk media baru-baru ini.

Malah, faktor yang sama menyebabkan ada bahagian persembahan seperti konsert di tapak pesta menimbulkan kebosanan.

Menurut Lokman yang ditemui pada sesi sidang akhbar sejurus persembahan berakhir, persembahan yang dipertonton kepada umum bermula 27 Mei lalu sehingga 5 Jun depan sedikit berbeza.

“Kami buat tayangan untuk media lebih awal, jadi kami boleh lihat kelemahan yang ada. Saya akui durasinya terlalu panjang, sebab itu, untuk tontonan penonton kami akan pendekkan kepada dua jam sahaja.

“Ada bahagian yang saya lihat tidak perlu dipersembahkan dan ada bahagian yang perlu dipendekkan persembahannya. Tetapi persembahan semua penyanyi 60-an yang diundang tetap ada kerana tanpa mereka tidak akan ada aura 60-an dalam teater ini,” jelas Lokman.

Ujar Lokman, sebagai pengarah, dia amat berpuas hati dengan segala komitmen serta persembahan yang diberikan oleh kesemua pelakon dan penyanyi.

“Saya berpuas hati meskipun ada bahagian yang perlu diperbaiki lagi, saya sifatkan teater ini bukan hanya untuk peminat lagu 60-an sahaja tetapi juga anak muda kerana teater ini dua dalam satu, ada dramanya dan juga persembahan muzikal,” katanya lagi.

Dafi dan Ana yang pertama kali berlakon di pentas teater menyifatkan mereka antara penyanyi yang bertuah kerana berpeluang merasai pengalaman penyanyi-penyanyi era 60-an.


NOSTALGIA era 1960-an diadun dengan era terkini menjadikan persembahan teater ini menarik untuk ditonton.


Meskipun itu pengalaman pertama mereka, lakonan Dafi dan Ana wajar dipuji kerana lontaran jiwa mereka begitu terkesan kepada penonton.

“Pada mulanya agak susah kerana saya harus belajar menari dan berlakon tetapi lama-kelamaan saya jadi seronok kerana kami semua ibarat sebuah keluarga yang sentiasa saling bantu-membantu.

“Sebagai penyanyi baru, pengalaman ini sangat berharga untuk saya kerana dapat bertemu dan bekerjasama dengan penyanyi-penyanyi terkenal zaman 60-an. Banyak yang saya pelajari daripada mereka,” kata Ana.

Dafi yang mengakui keletihan kerana terpaksa ‘berkampung’ di Istana Budaya selama dua bulan untuk menjalani latihan memberitahu, dia telah melepasi kemampuan dirinya sendiri sebagai penyanyi dan pelakon.

“Saya sendiri tidak sangka yang saya mampu menjayakan watak Rey kerana saya sendiri ragu-ragu dengan kemampuan diri sendiri pada mulanya.

“Atas bantuan pengarah dan semua pelakon, mereka menjadi kekuatan saya. Bagi saya, sebagai pelakon yang pertama kali berlakon teater saya amat berpuas hati dengan persembahan,” luah Dafi.

Teater Muzikal Kenangan Mengusik Jiwa...60-an yang dipentaskan bermula 27 Mei sehingga 5 Jun depan mengisahkan Rey kembali ke kampung halamannya setelah sekian lama menghilangkan diri.

Selepas hampir 30 tahun tidak pulang, Rey telah bertemu dengan rakan baiknya Azizan dan Ah Khow. Pertemuan mereka telah mengimbau banyak kenangan terutamanya ketika menuntut di kolej.

Sementara itu Rey dan Ana 2011 pula dibawakan oleh Latif Ibrahim dan Saida AF6 (Siti Norsaida Tarudin). Pelakon lain yang turut terlibat terdiri daripada Halil Chik, Liza Abdullah, Radhi Khalid, Iqbal Mazlan, Arja Lee dan Baby Erin.

Penyanyi-penyanyi yang diundang memeriahkan lagi teater ini ialah Datuk Ahmad Jais, A. Halim, L.Ramli, A.Rahman Onn, Fatimah M. Amin, J. Sham, Hussein Ismail dan A. Rozainie.

Buat penonton yang ingin menyaksikan persembahan mereka di Istana Budaya, jangan lupa mendapatkan tiket yang berharga bermula RM60 sehingga RM360 di Box Office, Istana Budaya (03-40265558) atau layari laman sesawang www.ticket2u.biz (03-4147 8600).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: