OM, 32, yang berasal dari Sabah menitiskan air mata ketika menyatakan kesyukurannya kerana ditempatkan di Kem Mahkota di Kluang dan bukan di penjara.
Bapa kepada enam anak itu berkata, semasa di Penjara Taiping saban hari dia merenung dinding batu mengenangkan nasibnya.
“Ketika di Penjara Taiping, saya sudah insaf dan sangat kesal kerana terlibat dengan dadah,” kata beliau. Om dihukum penjara kerana jenayah memecah masuk dan mencuri di pejabat akibat ketagihan dadah jenis syabu.
Om yang ditemui di Kem Mahkota berkata, di kem tentera itu dia bukan saja dapat melihat pemandangan luar yang menyegarkan bahkan juga bersukan, menonton TV dan sekali-sekala bekerja di bawah pengawasan anggota tentera.
Om yang akan dibebaskan dalam tempoh tiga bulan lagi adalah antara 180 Orang Diselia (ODS) di Kem Mahkota dalam program Pemulihan Pemasyarakatan Banduan di bawah Strategi Laut Biru Kebangsaan.
Pendekatan baru
Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Mahkota Kluang yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Mac lalu adalah yang pertama untuk menerima banduan dari penjara di seluruh negara. Program tersebut turut mendapat bantuan kawalan keselamatan yang minimum daripada anggota tentera.
Bagaimanapun, pentadbiran dan kawalan terhadap ODS di Kem Mahkota masih di bawah tanggungjawab dan seliaan Jabatan Penjara. Pendekatan itu dipilih sebagai usaha memudahkan banduan yang bakal menamatkan hukuman mereka kembali ke pangkuan masyarakat.
Tinjauan Bernama ke pusat tersebut mendapati, rata-rata banduan yang menyertai program ini menganggapnya sebagai satu usaha bijak yang dapat membantu mereka memulihkan keyakinan diri dan mengatasi stigma sosial.
Wan, 30, dari Perak, yang sebelum ini merengkuk di Penjara Tapah gembira dengan pendekatan baru ini.
“Kami dijaga dengan baik oleh anggota penjara dan tentera. Saya rasa bebas, tenang dan menyesal dengan apa yang saya telah lakukan,” katanya yang ditahan pada tahun 2008 kerana jenayah merompak.
Masih bujang dan dijangka dibebaskan dalam tempoh dua minggu, Wan bertekad tidak mahu mengulangi kesalahannya itu mahupun menyusahkan keluarga. Sebaliknya dia mahu mencari pekerjaan untuk menampung hidupnya.
Seorang lagi banduan yang dikenali sebagai Ezzra, 38, juga dari Perak berkata, ekoran terperdaya dengan ajakan rakan sekerja melakukan jenayah samun, dia menjadi manusia ganas dan tidak menghormati hak orang lain sehinggalah dia ditangkap.
Ezzra yang sebelum ini bekerja di pusat servis pendingin hawa berkata, program pemulihan pemasyarakatan itu menyedarkan dirinya betapa berharganya kebebasan. Dia juga tidak mahu menyusahkan masyarakat dengan kesalahan jenayah yang pernah dilakukannya.
Kata Ezzra, bentuk terapi terbaik di Kem Mahkota ialah pergaulan dengan anggota tentera. “Mereka tiada masalah berkawan dengan saya dan sekali-sekala memberi nasihat.
“Kawan-kawan ODS lain juga semuanya meluahkan hasrat untuk berubah menjadi orang baik, masing-masing yakin dapat diterima oleh keluarga dan masyarakat,” katanya yang membayangkan kehidupan baru yang lebih baik baginya selepas dibebaskan pada bulan Oktober ini.
Insan baru
Bapa kepada dua orang anak itu yang sebelum ini ditempatkan di Penjara Kajang, berhasrat untuk berkongsi pengalamannya dengan orang ramai terutama generasi muda supaya mereka tidak terjerumus dengan dadah dan jenayah.
Apakah keunikan Program Pemulihan Pemasyarakatan Banduan yang mampu mengubah Om, Wan dan Ezzra? Timbalan Pegawai Penjaga Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Mahkota Kluang Inspektor Shaari Abd. Rahman berkata, program dan aktiviti yang diatur untuk ODS menjurus kepada persediaan kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat sebagai insan baru yang berguna dan jelas mengenai tujuan hidup.
Mereka juga terlibat dengan kelas agama, kelas latihan dalam kumpulan, bekerja, kelas kompang, riadah dan bersukan. ODS juga dibenarkan menelefon keluarga menggunakan kad prabayar yang dibeli dengan wang elaun sendiri.
“Untuk memberi keyakinan diri bahawa mereka diterima baik oleh keluarga walaupun bergelar banduan, mereka juga dibenarkan bersemuka dengan keluarga yang melawat mereka seminggu sekali di bawah pengawasan warder,” katanya.
Untuk mempelbagaikan lagi kegiatan ODS, Jabatan Penjara juga merancang mengadakan kursus jangka pendek seperti kelas keusahawanan, kelas berzanji dan marhaban. Selain itu, jabatan terbabit menganjurkan aktiviti futsal terutama bagi ODS yang masih muda, projek tanaman herba dan ternakan ikan keli.
Objektif lain program di pusat itu ialah untuk memberi peluang kepada penghuni penjara belajar berbakti kepada masyarakat dan memupuk sikap yang baik ODS dengan melakukan kerja-kerja berfaedah di luar penjara.
Kumpulan lain pula melakukan aktiviti latihan berkompang dan ramai bersantai di dalam kawasan berpagar pusat itu dengan memakai seragam putih.
Satu lagi kunci keberkesanan pendekatan ini mungkin kerana ODS dikehendaki mengikuti fasa orientasi dan fasa pengukuhan sahsiah, sebelum boleh dipertimbangkan masuk ke pusat pemulihan pemasyarakatan itu.
Memandangkan kelebihan Program Pemulihan Pemasyarakatan Banduan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, program yang sama akan turut dilaksanakan di Kem Desa Pahlawan, Kelantan, Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kem Syed Sirajuddin, Gemas dan Kem Batu 10, 4 Briged Mekanize di Kuantan, Pahang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: