AKMAL ARIFFIN, 23, tergamam saat diumumkan pemenang Koleksi Terbaik, pada Pertunjukan Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam yang berlangsung baru-baru ini.
Anak bongsu daripada enam orang adik-beradik itu sama sekali tidak menyangka bakal merangkul hadiah utama dalam acara fesyen tersebut memandangkan saingan daripada rakan-rakan seperjuangan cukup sengit.
“Tahun ini, rezeki berpihak kepada saya meskipun dari awal saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana koleksi busana rekaan peserta lain juga cantik dan menawan. Namun, saya gembira kerana penat lelah selama tiga tahun menuntut dalam jurusan ini dibayar dengan kemenangan bermakna.
“Bertambah manis apabila kemenangan ini secara tidak langsung memartabatkan keunikan budaya negeri kelahiran saya, Negeri Sembilan, yang terkenal dengan signatur budaya Minangkabau,” jelas pemegang Ijazah Rekaan Fesyen, UiTM Shah Alam, yang menghasilkan koleksi pakaian dan aksesori kepala bertemakan, The Art of Minangkabau.
Ujar Akmal, pada awal semester lima pengajian, dia sudah mula sibuk memikirkan tema menarik untuk pakaian yang bakal dipamerkan di acara fesyen tersebut. Bersesuaian dengan tema nilai seni Melayu dan Asia Barat yang diberikan, peminat pereka antarabangsa, Elie Saab itu mengambil keputusan untuk menerapkan konsep Minangkabau.
“Rekaan saya lebih cenderung pada konsep tanduk kerbau yang diaplikasi pada topi dan bahu baju. Dari aspek permainan pula saya banyak bermain dengan warna hitam dan kuning keemasan.
“Hasil kajian saya mendapati warna hitam begitu simbolik bagi masyarakat Minangkabau kerana ia membawa maksud kegagahan dan kepimpinan manakala warna kuning keemasan pula melambangkan kemewahan.
“Aspek teknik jahitan, saya lebih selesa dengan teknik lipatan bagi menggabungkan fabrik rona hitam dan kuning keemasan tersebut,” terang Akmal kepada Stailo.
Sementara itu, Nurul Nazlin Mat Amim, 23, pula mempertaruhkan koleksi pakaian yang berasaskan paduan rona merah jambu lembut dan putih. Warna-warna tersebut menjadi pilihan kerana ideal dengan warna Masjid Putra, Putrajaya yang dijadikan inspirasi pada himpunan pakaian rekaannya.
“Pensyarah menyarankan kami mereka koleksi busana yang diinspirasi daripada seni bina bangunan di Malaysia ataupun di Asia Barat. Maka, saya memilih Masjid Putra yang merupakan salah satu mercu tanda yang tersergam indah di Putrajaya.
“Justeru bagi mendapatkan hasil pakaian yang menarik, saya menggunakan fabrik raw silk untuk dijadikan skirt yang berpotongan bulat ala kubah.
“Untuk himpunan blaus pula ia diperbuat daripada sutera satin yang mempamerkan motif yang tertera pada kubah masjid berkenaan,” jelas anak kekahiran Kuantan, Pahang itu yang melakar sendiri motif tersebut di atas kain satin sutera. Dia turut dibantu rakan seperjuangan daripada jurusan tekstil di universiti yang sama.
Tutur Nurul Nazlin yang pernah menuntut di Kolej Shahputra, Pahang, pertunjukan itu menjadi itulah momen yang dinantikannya kerana mahu menghasilkan rekaan pakaian moden berciri kesenian Melayu dan budaya Malaysia.
Elemen Timur
Secara ringkasnya, setiap tahun para pelajar Fakulti Seni Reka Fesyen, UiTM, Shah Alam, yang bakal menamatkan pengajian di peringkat ijazah akan mempamerkan hasil rekaan masing-masing dalam satu pertunjukan fesyen khas.
Selain memenuhi kehendak silibus pengajian, objektif utama acara fesyen itu juga merupakan platform terbaik dalam mempromosi pelajar kepada pihak industri fesyen. Secara tidak langsung, ia menjadi ‘langkah pembuka’ bagi graduan bergerak lebih jauh dalam industri ini.
Selain diserikan dengan penglibatan barisan model profesional tempatan, acara fesyen tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran para tetamu, pencinta fesyen dan kelompok pereka fesyen yang sudah menapak lebih lama dalam industri fesyen Malaysia.
Saban tahun, para penuntut perlu menghasilkan empat pasang busana mengikut tema yang telah ditetapkan oleh tenaga pengajar dan pihak fakulti. Sehubungan itu, pada kali ini, seramai 40 pelajar fesyen digalakkan mereka pakaian yang mengambil inspirasi berkaitan elemen tradisi Melayu dan Asia Barat.
“Tema ini menjadi pilihan bagi menerapkan semangat menghargai warisan budaya bangsa dalam jiwa mereka. Dalam proses ini, pelajar perlu mengolah dan menyuntik elemen-elemen yang dipilih mengikut kreativiti sendiri dan sealiran trend fesyen masa kini serta keperluan pasaran fesyen tempatan,” terang Pensyarah di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Faizal Hamid.
Menurutnya, pada masa yang sama, mereka perlu menggabungkan elemen garisan, tekstur, perincian dan warna untuk menghasilkan ilusi dan drama pada koleksi rekaan mereka.
“Ini termasuklah menggunakan kombinasi teknik tindihan dan merangka pola serta teknik jahitan yang rumit sebagai ekspresi rekaan unik,” ujarnya.
Faizal mengakui bahawa dia terharu dan berbangga melihat kebijaksanaan setiap pelajar yang berjaya menghasilkan rekaan bak pereka fesyen profesional.
Nampaknya, ilmu fesyen yang dituntut dalam tempoh kurang lima tahun telah diaplikasi dan dipraktikkan sebaik mungkin.
Tambah Faizal: “Para pelajar berjaya mereka koleksi pakaian moden yang menggabungkan unsur-unsur kemelayuan dan Asia Barat. Harapan saya agar pereka fesyen graduan UiTM ini terus mencipta nama dan menerapkan nilai estetika seni dan budaya Timur dalam setiap rekaan mereka kelak.
Nampaknya, pujian Faizal bukan sekadar omong kosong kerana hakikatnya, rekaan fesyen yang ditonjolkan sememang memiliki keunikan.
Buktinya, lihat saja rekaan, Adni Adnan, 23, yang terserlah dengan penampilan sut harem iaitu potongan Ali Baba yang dipadankan bersama jaket bersulam flora serta aksesori kerongsang tiga serangkai.
Hal yang sama juga dilihat, pada busana rekaan kreatif Nurmin Hana Abd. Rashid yang tampil dengan kostum ala Puteri Perak.
Bukan sekadar glamor
Dalam pada itu, Rizman Nordin, 27, dari label Rizman Ruzaini Creations, menyifatkan dunia fesyen bukan sekadar glamor semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan komitmen, kreativiti dan tanggungjawab yang tinggi agar koleksi pakaian yang dihasilkan mampu menyerlahkan penampilan ideal si pemakai.
“Sebab itu, saya selalu berpesan kepada pereka muda supaya sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal sekiranya ingin melibatkan diri secara serius dalam bidang ini.
“Sebagai pereka, kita harus peka pada trend fesyen semasa, bermula daripada pemilihan fabrik, ramalan warna, rekaan hinggalah potongan pakaian.
“Proses mengkaji dan meneliti industri fesyen di pelbagai negara wajar dilakukan sebagai panduan untuk membantu meningkatkan serta memperbaiki mutu rekaan kita. Ini termasuklah, memikirkan signatur rekaan yang unik dan istimewa,” tutur Rizman yang mengusahakan label Rizman Ruzaini Creations bersama sahabat baiknya, Wan Mohd. Ruzaini Wan Jamil, 27.
Menyentuh mengenai kehadiran pereka-pereka baru dan muda yang mewarnai industri fesyen tempatan, graduan Ijazah Rekaan Fesyen, UiTM, Shah Alam itu melahirkan rasa bangga kerana melihat bidang berkenaan semakin mendapat perhatian ramai.
Malah, anak kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang itu memuji tindakan pereka junior yang berani bereksperimen dengan pelbagai teknik jahitan tetapi pakaian yang dihasilkan itu masih relevan digayakan.
Selain itu, Rizman turut gembira melihat pereka muda mengambil inisiatif mereka dres meleret ataupun gaun petang yang menerapkan elemen rekaan Melayu seperti penggunaan fabrik songket dan batik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: