KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Sidek Hussin, 60, mahu berlakon sehingga dua tahun saja lagi ekoran faktor usia yang kian meningkat selain stamina yang semakin berkurangan.
Jelas aktor filem Karak ini, dia mungkin kelihatan masih kuat dan bertenaga secara luaran tetapi hakikatnya kudrat dan tenaganya sudah semakin lemah.
"Orang mungkin nampak saya masih kuat dan aktif tetapi itu pada luarannya saja. Hakikatnya, saya sudah penat dan tenaga juga semakin berkurangan sebenarnya.
"Mungkin paling lama pun saya akan berlakon sehingga dua tahun saja lagi. Itu pun selagi anak bongsu saya masih belajar. Selepas ini, apabila dia mula bekerja saya ingin berehat terus," katanya yang ditemui, baru-baru ini.
Mengulas tentang keaktifannya berlakon, Sidek yang kini menumpukan perhatian pada perniagaan barangan antik berkata, dia hanya menerima tawaran lakonan yang bersesuaian dengan karakter, masa dan kemampuannya.
"Saya tidak ambil setiap tawaran lakonan yang diberikan. Kalau ada yang sesuai baru saya terima. Bukannya apa, badan ini sudah semakin letih dan tidak larat seperti dulu.
"Pada kebanyakan waktu, saya lebih senang memberikan tumpuan pada perniagaan barangan antik yang saya usahakan itu," katanya.
Apabila ditanya mengenai bonjol pada bahagian pipinya yang kelihatan semakin membesar, Sidek berkata, dia sudah terbiasa dengan keadaan tersebut dan sama sekali tidak berasa terganggu.
"Terus-terang, saya sudah malas dan penat hendak merawatnya. Bukan sekali dua saya berubat dan sudah bermacam cara saya berikhtiar sebelum ini.
"Selagi ia tidak menyakitkan saya, biarlah. Lagipun, keadaan ini pun tidak mengganggu pancaindera saya. Alhamdulillah, semuanya masih baik lagi," balasnya.
Berkongsi pula tentang lakonan terbarunya dalam filem seram arahan Yusry Abdul Halim itu, Sidek yang memainkan watak Tok Malam mengakui tidak menghadapi sebarang masalah bekerjasama dengan pengarah dan pelakon-pelakon muda.
"Saya tiada masalah bekerja dalam produksi ini. Walaupun mereka orang baru dan muda, semuanya menyempurnakan komitmen masing-masing dengan baik.
"Malah, bekerja dengan Yusry sendiri adalah mudah kerana dia menerima idea dan pandangan tentang watak dan sesebuah babak yang hendak dijayakan," katanya.
Selain Sidek, filem keempat arahan Yusry Abdul Halim itu turut dibintangi barisan pelakon muda seperti Shahir (AF8), Shera Aiyob, Along Eyzendy dan Kilafairy.
Karak kini ditayangkan di pawagam bermula 26 Mei lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: