|
|
TERLETAK di kawasan kediaman elit Shah Alam, banglo tiga tingkat yang baru dihuni itu kelihatan sangat menawan dari luar. Walaupun boleh dikategorikan sebagai sederhana jika dibanding dengan beberapa kediaman yang terletak berdekatan dengannya, namun ia mempunyai tarikan tersendiri.
Kombinasi warna lembut semulajadi dengan rekaan kediaman kontemporari sedikit sebanyak sudah menceritakan apa yang ada di dalamnya. Lalu tatkala kaki menjengah ke ruang dalam, penataan indah ilham Benua Unit Design bisa menjentik rasa siapa jua yang memandangnya.
Menurut Pengarah Projek, Mohd. Nizar Manaf (gambar), syarikatnya terlibat 100 peratus dari mula perancangan, binaan hingga kepada rekaan dalaman kediaman tersebut.
“Kami memberi idea dan berbincang dengan pelanggan apa yang mereka inginkan. Setelah melalui beberapa rundingan, akhirnya inilah yang terhasil,” kata beliau.
Menariknya, bukan sekadar binaan dan rekaan dalaman, malah pemilihan perabot juga merupakan idea pereka dalaman yang mana mereka hasilkan sendiri memenuhi keinginan pemilik.
Menurutnya, pemilik mahukan sebuah kediaman yang mirip penginapan di hotel serta berkonsep kontemporari dan fusion. Namun, dalam masa yang sama masih berteraskan prinsip minimalis. Warna-warna semula jadi dipilih sebagai asas rekaan dalaman dan diselitkan dengan beberapa warna penyerlah bagi ruang tertentu.
Moden dan mendamaikan
Bagi mereka yang datang dari pintu masuk utama pasti tidak sedar bahawa banglo itu sebenarnya terdiri daripada tiga tingkat.
“Disebabkan kedudukannya yang terletak pada lereng bukit, maka dari pintu utama ia kelihatan seperti dua tingkat namun pemandangan dari bahagian belakang lebih menakjubkan,” kata Mohd. Nizar.
Mempunyai tujuh bilik tidur, teras minimalis pada setiap ruang menjadikan kediaman tersebut sangat mendamaikan dan tidak sarat. Ruang tamu yang luas dengan penekanan pada sebuah chandelier berpintal menjadikan ia sungguh menawan. Dua buah lukisan berbentuk kelopak bunga menarik perhatian.
Ruang keluarga di bahagian belakang terpisah jauh dari ruang tamu utama. Ini memberi keselesaan dan privasi kepada keluarga pemilik untuk menonton televisyen walaupun mempunyai tetamu yang bertandang. Di situ juga terletaknya bilik tidur utama pemilik.
Cermin besar pada meja makan mewujudkan satu pandangan yang luas. Begitu juga dengan kawasan dapur yang terlindung, membuatkan binaan dalaman tidak kelihatan bersepah.
Hanya ruang surau di tingkat paling bawah untuk keluarga beribadat. Manakala tingkat atas menempatkan empat buah bilik yang dihuni anak-anak pemilik. Setiap satu dengan rekaan tersendiri, juga dilengkapi bilik mandi masing-masing. Di tingkat ini juga dibina balkoni menghadap pemandangan kawasan perumahan yang tenang itu. Pasti siapa jua akan terbuai andai berada di ruang ini walau buat seketika.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: