Tuesday, May 31, 2011

Susah senang hidup Chris


CHRIS Hemsworth kini merupakan salah seorang bintang baru Hollywood yang semakin menyinar.


SELAMA tiga tahun jejaka kacak ini menetap di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat mencari peluang untuk melebarkan sayap seninya.

Pantang ada peluang uji bakat, Chris Hemsworth tidak mahu ketinggalan mencuba nasib.

Namun, entah di mana silapnya, selama tempoh itu, rezeki tidak pernah berpihak kepadanya lalu membuatkan Chris berasa putus asa.

"Bayangkan saya tidak bekerja selama lapan bulan dan tinggal di Los Angeles yang mana kos taraf hidup di sana cukup tinggi.

"Saya bertanya kepada diri saya apakah benar jalan ini yang saya pilih. Lalu, saya mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke kampung halaman saya di di Melbourne, Australia.

"Tetapi, saya sedar segala dugaan dan cabaran yang saya hadapi sebenarnya adalah satu ujian untuk melihat sejauh mana kesabaran saya untuk berdepan dengan realiti hidup.

"Dan, benarlah kata orang. Seandainya kita terus berpegang teguh kepada kepercayaan yang ada dalam diri kita, rezeki akan tetap datang kepada kita. Hanya cepat atau lambat sahaja," luah Chris mengimbas kembali kenangannya .

Siapa sangka, peluang berlakon mula mendampingi Chris apabila pengarah terkenal, Joss Whedon menghubunginya dan mahu berbincang tentang filem, Cabin In The Woods.

Tidak menunggu lama, Chris menerima tawaran tersebut dan menjalani penggambarannya di Vancouver, Kanada. Ketika sedang sibuk di lokasi, dia menerima satu lagi tawaran berlakon untuk sebuah filem pembikinan semula (remake) berjudul Red Dawn.

Tetapi, panggilan telefon daripada aktor dan pengarah terkenal, Kenneth Branagh hakikatnya telah merobah hidup Chris secara total.

"Siapa sangka, Ken (panggilan untuk Kenneth) menghubungi saya untuk menghadiri uji bakat terakhir bagi filem Thor. Saya menyangkakan peluang sudah tertutup buat saya kerana tidak berupaya memikat hati Ken dan pihak Marvel Studios.

"Kerana itu saya katakan, kalau kita terus bersabar dan percaya dengan ketentuan takdir, lambat-laun kita akan mendapat habuannya. Itu adalah gambaran tepat untuk diri saya ketika ini.

"Saya sendiri tidak sangka akan terpilih untuk membintangi filem Thor kerana mereka yang menghadiri uji bakatnya semuanya memiliki karisma serta kriteria yang menepati watak Thor itu sendiri," kata Chris yang berusia 27 tahun ini sambil ketawa kecil.

Percaya atau tidak, saingan terdekat Chris pada uji bakat itu adalah adiknya sendiri, Liam yang sebenarnya disenarai pendek sebagai empat calon pilihan untuk watak Thor sedangkan Chris gagal menempatkan diri ke peringkat tersebut.

"Daripada tiada kerja, sekarang ini saya bekerja tidak henti (ketawa). Saya amat bersyukur dan merasakan diri saya sebagai seorang yang amat bertuah dengan segala peluang yang diberikan kepada saya.

"Ternyata, ia menjadi pembakar semangat buat saya untuk terus memberikan hasil kerja yang terbaik demi memantapkan karier saya sebagai seorang aktor yang disegani kelak," ujar Chris yang dilahirkan di Christchurch, New Zealand ini penuh rendah diri.

Mengikuti perkembangan seni dan hasil kerja Kenneth baik menerusi filem mahupun teater, Chris menganggap pengarah dari Belfast, United Kingdom itu sebagai sumber inspirasi untuknya terus berjaya dalam bidang seni.

Justeru,adalah menjadi satu kebanggaan buat dirinya apabila dapat dibimbing oleh seorang pengarah hebat seperti Kenneth.

"Saya memang tidak pernah bekerja dengan sesiapa seperti Ken. Dia memiliki idea yang bernas dan kreatif walaupun ada yang berfikiran skeptikal dengan kemampuannya untuk mengarahkan sebuah filem bajet besar seperti Thor.

"Dia benar-benar mencabar saya dalam setiap adegan yang kami lakukan kerana dia mahukan setiap pelakon memberikan hasil kerja yang terbaik.

"Dia juga memberikan pilihan dan mahu pelakonnya mencuba setiap satu daripadanya dalam menepati piawaiannya," ujar Chris yang pernah membintangi filem Star Trek (2009) arahan J.J. Abrams.

Dalam masa yang sama, dia juga teruja kerana dapat berlakon bersama-sama pelakon hebat seperti Anthony Hopkins dan pemenang Oscar, Natalie Portman.

"Anthony seorang yang cukup rendah diri dan pemilihannya sebagai Odin memang tepat. Dia juga menjadi sumber inspirasi saya dan seorang pelakon yang hebat.

"Begitu juga dengan Natalie yang merupakan salah seorang aktres yang fantastik dan berbakat besar. Berlakon di sampingnya adalah satu penghargaan buat saya," ujar Chris tanpa selindung.

Seperkara kata Chris yang benar-benar mencabar dirinya dalam membawakan watak Thor adalah untuk mendapatkan bentuk badan bagi menggambarkan keperkasaan Thor sebagai seorang dewa dan pahlawan.

Untuk itu, selama berbulan-bulan dia menjalani rejim latihan yang cukup menyakitkan dan meletihkan terutama di peringkat awal.

Katanya, semua itu ada kaitan dengan senaman angkat berat yang dilakukannya terutama untuk pembinaan otot seperti mana yang dituntut dalam menghidupkan watak Thor.

"Saya memang tidak pernah menjalani latihan seperti itu dan saya perlu dibimbing oleh beberapa orang bagi memastikan saya mendapat bentuk badan yang sempurna.

"Kiranya gimnasium diibaratkan rumah kedua dan saya memang banyak melakukan senaman angkat berat selain perlu menjaga diet serta amalan pemakanan saya," jelas Chris lagi.

Selepas mendapat bentuk badan yang cukup mantap, Chris perlu mengekalkannya kerana dia akan membawakan kembali menjadi Thor untuk filem The Avengers yang kini sedang menjalani penggambaran.

Menerusi filem The Avengers, Chris akan bergandingan empat aktor lain yang membawakan watak adiwira iaitu Robert Downey Jr. sebagai Iron Man, Chris Evans (Captain America), Jeremy Renner (Hawkeye) dan Mark Ruffalo (Hulk).

Bagi mereka yang belum berkesempatan menonton Thor, peluang masih terbuka buat anda kerana ia masih lagi ditayangkan di pawagam tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: