|
|
PERJALANAN hidup ini sememangnya penuh dengan ujian dan rintangan. Sebab itu Islam menganjurkan umatnya agar saling membantui. Berkat kesabaran menempuh ranjau itu, nescaya Allah akan membantu dalam segala perkara.
Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan mengadakan program ziarah ke atas empat saudara India Muslim di sekitar Lembah Klang, 11 Mei lalu.
Ziarah itu diketuai oleh Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad. Turut serta, Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Perkim, Amran Abdullah.
Lokasi pertama adalah ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya bagi menziarahi Khairul Ridzuan Abdullah, 46, yang menghidap penyakit tiroid.
Khairul Ridzuan adalah pelajar di Perkim cawangan Kolej Islam Malaya yang aktif dalam aktiviti-aktiviti anjuran Perkim.
Selain penyakit tiroid, beliau juga menghidap kencing manis dan darah tinggi. Akibat penyakit itu, beliau diserang kanser kolesteatom iaitu jangkitan kuman dari liang kerongkong dan liang telinga.
Lebih memilukan, Khairul Ridzuan berpisah dengan isterinya 12 tahun lalu dan kini menjaga dua cahaya mata.
Beliau yang bekerja sebagai pengurus sebuah pusat servis kenderaan kini tidak mampu meneruskan perniagaan kerana banyak wang digunakan untuk rawatan susulan di beberapa hospital pakar.
Dalam kunjungan itu Suariza menyampaikan hamper buah-buahan dan sumbangan RM100 kepada Khairul.
Destinasi kedua dalam ziarah itu adalah pangsapuri Taman Ahmaniah Mulia, Batu Caves, Selangor. Ia bagi menziarahi Najib Paarthiban Abdullah, 40, yang mengalami sindrom kemurungan atau psikologi.
Najib yang dahulunya seorang yang progresif dan komited dalam kerjayanya sebagai jurujual kereta berjaya menjual 15 hingga 24 buah kereta sebulan yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Jerman.
Namun, selepas disahkan mengidap sindrom tersebut, sehingga hari ini beliau tidak mendapat pekerjaan selain mendapat rawatan susulan setiap bulan di Hospital Selayang.
Pihak Perkim kemudiannya menyampaikan sumbangan hamper dan wang tunai RM200 kepada beliau.
Ziarah ketiga adalah di rumah pesakit tulang punggung, Yusuf Abdullah, 47, di Taman Kepong Indah, Kuala Lumpur.
Beliau terpaksa mencari rezeki sebagai pemandu teksi untuk menyara isteri dan empat anaknya yang masih bersekolah walaupun penyakit yang dialaminya semakin melarat.
Bagaimanapun, Yusuf bersyukur kerana mendapat bantuan bulanan persekolahan RM300 daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Yusuf menghidap sakit tulang punggung akibat terjatuh di bilik air rumahnya dan terpaksa melaksanakan solat fardu dalam keadaan duduk.
Beliau juga sebelum ini aktif dengan aktiviti dan program yang dianjurkan oleh Perkim dan Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
Atas ihsan Perkim, Suariza dan Amran menghulurkan sumbangan wang tunai RM100 dan hamper berbentuk makanan kepada Yusuf.
Perkim meneruskan ziarah keempatnya di rumah warga emas, Salmah Lakshmei Abdullah, 73, di Kampung Sungai Choh, Rawang, Selangor.
Beliau yang memeluk Islam sejak 1978 tinggal sebatang kara selepas suaminya, Abu Bakar Sidek, meninggal dunia akibat sakit jantung dan kencing manis 12 tahun lalu.
Salmah yang dahulunya pernah berkhidmat sebagai tukang cuci di Perkim sering mengikuti kelas pengajian harian Perkim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas berhenti kerja.
Kini beliau tidak dapat meneruskan pengajiannya kerana menghidap katarak dan mendapat rawatan dua kali sebulan di Hospital Selayang dibantu oleh dua orang anaknya yang belum memeluk Islam.
Salmah juga menghidap kencing manis, darah tinggi, paru-paru berair, jantung dan buah pinggang turut menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor selain sedekah orang ramai untuk meringankan bebannya.
Suariza dan Amran menyampaikan hamper makanan dan wang tunai RM200 kepada beliau.
Ziarah terakhir adalah di rumah saudara Muslim, Muhammad Ariff Abdullah yang patah kaki akibat kemalangan jalan raya.
Perkim menyerahkan alat bantuan tongkat kaki empat kepada Ariff yang ditaja oleh Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) MAIWP.
Perkim menyampaikan bantuan RM100 dan hamper makanan kepada Ariff.
Dalam pada itu, Suariza berharap, setiap individu dalam kawasan perumahan mengambil berat dan memainkan peranan terhadap saudara Muslim dan jangan mengambil kesempatan ke atas kesakitan yang mereka alami.
Kata beliau, saudara Muslim seperti mereka juga memerlukan bimbingan agama dan rohani untuk meneruskan kehidupan.
"Ini adalah satu kaedah yang dapat merapatkan lagi ikatan dan hubungan silaturrahim antara Perkim serta saudara Muslim kerana mereka ini memerlukan kasih dan belas ihsan daripada keluarga Perkim," katanya.
Turut hadir, Pengerusi Perkim cawangan Bukit Damansara, Puteh Kalsom Shamsuddin dan Pegawai Dakwah Perkim, Zubaedah Husen Jawas Awad.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: