SEJARAH Mungkin Berulang, antara lagu yang melonjakkan nama kumpulan remaja popular sekitar 1999, New Boyz apabila mencipta kegemilangan sendiri dalam kalangan kumpulan band remaja.
Mereka digilai remaja seusia bukan saja di negara sendiri, malah turut mendapat tempias peminat dari Indonesia, Singapura dan Brunei.
Ternyata usahanya tidak sia-sia apabila dinobat sebagai juara OIAM.
Sejak itu, Tomok berjaya mengisi namanya di dalam senarai penyanyi popular tanah air, sekali gus berada di tahap selesa sebagai penyanyi yang boleh dibanggakan di dalam industri hiburan.
Mahu bertaraf legenda
JEJAKA berusia 27 tahun itu semakin matang menyusun segala perancangan kariernya. Impiannya mahu memastikan namanya dalam persada seni ini sentiasa diingati, malahan kalau boleh hendak meletakkan dirinya setaraf legenda.
“Atas sasaran itu saya harus memastikan segala produk seni yang saya keluaran harus menepati piawaian yang saya sendiri tetapkan,” katanya.
Tidak hairanlah album solo pertamanya berjudul Tomok OIAM3 yang dihasilkan pada 2009, memuatkan 12 lagu dan diterbitkan Oktober tahun lalu itu berjaya melahirkan sehingga enam single popular.
“Menerusi album itu saya sudah ada lima single dan dua sudah daripadanya dipertandingkan di Anugerah Juara Lagu ke-24 dan 25.
“Secara peribadi, memang agak susah mendapatkan dua single dalam satu album, tetapi saya sudah buktikan single ke enam bakal direalisasikan dalam masa terdekat ini. Saya kini sedang giat mempromosikan single keenam berjudul Merentas Masa,” katanya yang sangat gembira apabila pembikinan album terbarunya mendapat bekerjasama daripada tenaga profesional dan berpengalaman seperti Audi Mok, Aubrey Suwito, Edry KRU dan Aidit Alfian.
Tomok juga mengakui sukar menangani penyakit yang sering dihadapi bagi setiap artis ketika mengadakan persembahan biarpun pengalamannya di dalam bidang nyanyian sudah mencapai 11 tahun.
“Perasaan gugup ketika berada di pentas tetap ada. Kebanyakan penyanyi baru mahupun yang lama akan mengalami masalah ini. Ia normal. Ia juga baik untuk mengingatkan kita bahawa jangan terlalu selesa dan yakin.
Saya pernah merasai pengalaman berhadapan dengan peminat yang fanatik sehingga pentas yang kami mengadakan persembahan roboh, peminat pengsan sudah saya lalui, ia adalah kenangan paling manis saya bersama peminat yang akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya yang mengakui masih bersama New Boyz selaku vokalis.
8 tahun simpan rahsia
Sementara itu, perkenalan yang sudah berlanjutan lebih lapan tahun bersama Siti Rahayu Abas, 31 cukup kemas terjaga sehingga tiada satu media pun dapat menghidu perhubungan mereka.
Mereka bakal menamatkan perhubungan itu dengan satu ikatan yang lebih utuh sebagai pasangan suami isteri pada 1 Julai depan.
“Saya mengenali bakal isteri sudah lapan tahun dan Alhamdulillah perhubungan itu terjalin dengan baik, memang ramai yang tidak tahu perhubungan kami kerana sebelum ini saya lebih suka media menumpukan kepada karier nyanyian.
“Memang saya saya tidak pernah membawa bakal isteri saya menghadiri mana-mana majlis. Insya-Allah saya cukup bersedia memikul tanggungjawab saya sebagai suami dan menantu.
“Sebelum ini saya bujang, tanggungjawab itu masih kecil dan kini selepas berkahwin, tanggungjawab saya semakin besar, saya harus memikirkan bagaimana hendak mengambil hati isteri, ibu dan bapa mentua serta sanak-saudara belah isteri,” katanya.
Kesibukan kariernya kini terpaksa diketepikan demi menguruskan majlis yang paling bermakna di dalam hidupnya.
“Saya kini di dalam peringkat akhir mengadakan persediaan perkahwinan. Perkara wajib yang membabitkan urusan pernikahan dan pendaftaran perkahwinan sudah diselesaikan sejak awal termasuklah kursus perkahwinan yang sudah diikuti pada Januari lalu.
“Kad undangan juga akan diedarkan kepada semua tetamu termasuk media di dalam masa terdekat ini,” katanya yang akui tetap menerima maklum balas daripada peminat mengenai pengumuman menamatkan zaman bujangnya.
Katanya, dirinya bertuah kerana keputusan berkahwin bersama pilihan hatinya turut mendapat restu daripada peminat.
“Alhamdulillah saya menerima maklum balas yang cukup positif daripada mereka. Apa yang penting peminat pun memahami keputusan yang saya buat kerana setiap manusia juga mempunyai perancangan masa depan dan mereka menghormatinya.
“Bagi saya, walaupun seseorang penyanyi itu sudah berkahwin, namun jika ia kekal mengeluarkan produk yang berkualiti, insya-Allah mereka tetap memberikan sokongan yang tidak putus,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: