|
|
ISLAM begitu menitikberatkan persoalan berhemat dalam membelanjakan harta atau wang, malah Islam menegaskan agar umatnya tidak melakukan pembaziran yang hanya akan mendatangkan kerugian.
Hakikatnya, harta benda, wang ringgit, pakaian, kenderaan, kediaman, tenaga, masa dan sebagainya itu adalah nikmat pemberian Allah SWT yang wajar kita hargai dengan memanfaatkannya ke jalan yang baik.
Jika perkara-perkara tersebut dipergunakan pada jalan sia-sia serta dilarang oleh Allah SWT, maka ia termasuk di dalam pembaziran. Mereka yang suka membazir dan boros ini sebenarnya tergolong di dalam kalangan orang-orang yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat pemberian Allah SWT atau dikategorikan sebagai kufur nikmat.
Justeru, Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehingga Allah SWT menyifatkan orang-orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (al-Israk: 27).
Lantaran itu, wajiblah bagi kita umat Islam menghindarkan diri daripada melakukan amalan pembaziran, sama ada yang melibatkan wang, harta, masa, tenaga, usia dan sebagainya supaya kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang dibenci dan dimurkai Allah.
Hargailah segala nikmat kurniaan Allah dengan menggunakannya secara wajar, berhemah, bersyukur, berjimat dan memanfaatkannya ke jalan yang diredai Allah SWT.
Melihat kepada Islam tidak menyukai pembaziran, Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (Pertubuhan IRM) merencanakan program khas bagi individu yang berminat mendermakan barangan terpakai milik peribadi untuk tujuan amal.
Usaha murni ini secara tidak langsung dapat mengelakkan pembaziran dan menyumbang kepada ganjaran pahala.
Program unik yang menghimpunkan barang-barang terpakai dari seluruh Malaysia bagi mengumpul dana untuk projek kemanusiaan khusus untuk anak yatim, golongan fakir miskin, warga Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal di bawah kelolaan Pertubuhan IRM.
Kempen yang dijalankan kurang daripada sebulan ini, memperlihatkan tanda prihatin masyarakat Malaysia. Pelbagai barangan terpakai yang telah didermakan oleh orang ramai yang prihatin terutamanya di sekitar Lembah Klang.
Antara barangan yang berjaya dikumpul adalah seperti pakaian, beg, perhiasan rumah, kelengkapan rumah dan juga kasut. Kebanyakan barang yang didermakan ini berada dalam keadaan baik dan boleh di guna pakai lagi.
Pada kebiasaannya, program amal anjuran Pertubuhan IRM ini akan dijalankan secara berperingkat dan bermusim. Barang-barang akan di kumpul dan aktiviti saringan dan memilih barang terbaik akan dilakukan oleh sukarelawan Pertubuhan IRM sebelum dijual semula kepada orang ramai.
Hasil daripada jualan tersebut akan digunakan untuk projek kebajikan yang dijalankan oleh Pertubuhan IRM.
Lanjutan itu, pada 21 Mei lalu, Pertubuhan IRM dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menganjurkan program 'Bonanza Amal Barangan Terpakai 1Malaysia' di Stesen Keretapi Ipoh, Perak.
Melalui program ini, pihak Pertubuhan IRM menyediakan platform kepada masyarakat Malaysia yang prihatin untuk mendermakan barangan terpakai untuk dijual semula dan hasil bagi jualan tersebut akan digunakan untuk projek kebajikan.
Bagi menjayakan program ini, Pihak KTMB membantu pihak Pertubuhan IRM dalam mengumpulkan barang terpakai hasil daripada sumbangan orang ramai yang terdiri daripada pengguna KTM, khususnya.
Aktiviti pengumpulan barangan terpakai ini berjalan lebih kurang tiga minggu dengan pembukaan pusat pengumpulan barang di stesen keretapi dan komuter yang terlibat seperti di Stesen Keretapi Sentral Kuala Lumpur, Stesen Komuter Subang Jaya, Stesen Komuter Shah Alam, Stesen Komuter Klang dan Stesen Komuter Kajang.
Dengan adanya pusat pengumpulan barangan ini, ia memudahkan orang ramai untuk menjayakan kempen ini.
Selain itu, pihak KTMB juga turut membuat charity-drive dalam gerabak keretapi dan juga di stesen-stesen KTM yang lain bagi membantu pihak Pertubuhan IRM mengumpul dana.
Alhamdulillah program istimewa ini telah berjaya menjual pelbagai barangan terpakai seperti pakaian, barang perhiasan, buku-buku dan lain-lain peralatan pada harga serendah RM1 hingga RM10.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan IRM, Zawahir Abdullah berkata, pihaknya percaya program seumpama ini pasti menjadi pilihan dan tumpuan membeli-belah untuk golongan sederhana dan berpendapatan rendah yang mahukan pelbagai barangan berjenama pada harga yang murah.
Katanya, langkah menggunakan semula barangan dan bahan terpakai adalah usaha murni kerana mengurangkan sampah serta menjimatkan perbelanjaan berikutan kos mendapatkannya jauh lebih murah berbanding barangan baru.
"Melalui kempen yang dijalankan kurang daripada sebulan ini memperlihatkan tanda prihatin masyarakat Malaysia. Selain itu, keprihatinan masyarakat tempatan juga harus dipuji, kerana kebanyakan barang yang didermakan berada dalam kualiti yang baik.
"Malah yang lebih memeranjatkan pihak kami, kerana turut menerima barangan baru yang masih belum digunakan lagi untuk tujuan didermakan," jelasnya yang turut memuji warga Ipoh di atas sambutan yang diberikan.
Tambah Zawahir, sumbangan bukan hanya dalam bentuk material dan wang ringgit. Sebaliknya, sumbangan berbentuk tenaga amat penting dalam menjayakan program seumpama ini.
Merujuk kepada moto 'Berganding tangan menjana perubahan' telah mengundang seramai 20 sukarelawan Pertubuhan IRM dari Kedah, Ipoh dan Kuala Lumpur untuk bersama-sama menjayakan program yang bermula dari aktiviti saringan hingga berlangsungnya hari jualan.
Kata beliau, apa yang menarik sukarelawan Pertubuhan IRM ini bukan sahaja terdiri daripada golongan pelajar tetapi ia turut disertai oleh golongan profesional, warga emas dan OKU.
"Itulah yang menggambarkan budaya Malaysia yang tidak pernah lokek menghulurkan bantuan. Bagi Pertubuhan IRM sendiri, pihak kami menerima apa saja bentuk sumbangan dan penajaan yang ingin dihulurkan.
"Apa yang penting, adalah keikhlasan dan juga semangat bantu-membantu yang sinonim dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
"Itulah harapan kami iaitu bersama-sama kita mengurangkan beban kesengsaraan dan penderitaan hidup masyarakat miskin di peringkat tempatan mahupun antarabangsa," ujar Zawahir.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai usaha Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia ini atau menghulurkan sumbangan, anda boleh layari laman web www.irmalaysia.org.my atau hubungi talian 03-8948 6334 (Farouq Zauji).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: