Monday, May 30, 2011

Satu pakej untuk akses lengkap

BUAT pertama kali di negara ini, syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi terkenal, Maxis Berhad (Maxis) melancarkan perkhidmatan mengakses Internet daripada pelbagai peranti elektronik menerusi langganan hanya satu pakej.

Dikenali sebagai Multiple-Play Service yang tersedia bersama perkhidmatan Maxis Home Services, ia membenarkan pengguna melayari Internet melalui platform seperti komputer, komputer riba, tablet dan telefon bimbit pintar secara serentak pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Berhad, Sandip Das, pengenalan perkhidmatan itu bermatlamat melengkapkan dunia telekomunikasi pengguna secara lebih moden menerusi capaian rangkaian wayarles dan juga 3G.

''Di seluruh dunia, terdapat lebih empat bilion pengguna peranti Internet mobiliti. Melihat perkembangan itu, Maxis mengambil pendekatan mengintegrasikan kesemua rangkaian capaian Internet.

''Kita mahu menawarkan pengalaman akses digital terbaik kepada para pengguna menerusi implementasi teknologi fiber,'' katanya pada pelancaran perkhidmatan itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.

Secara asasnya, Maxis Home Services menawarkan akses perkhidmatan telekomunikasi lebih unik dan inovatif.

Menerusi Multiple-Play Service pula, pengguna diberi kebebasan memilih kandungan dan perkhidmatan serta format paparan mengikut kehendak mereka.

Antara rangkaian servis lengkap yang ditawarkan adalah seperti perkhidmatan suara, Internet berkelajuan tinggi dan beberapa nilai tambah lain.

''Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada sokongan visi kerajaan yang mahu menjadikan industri digital dan akses Internet negara setanding dengan peringkat global.

''Justeru di Maxis, selain suara, kami turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan perkhidmatan nilai tambah bukan suara iaitu merangkumi 40 peratus daripada servis keseluruhan,'' jelasnya.

Untuk tujuan promosi, Maxis bakal memberi penerangan mengenai pakej tersebut kepada para pelanggan dan rakan bisnesnya yang berada di kawasan liputan.

Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan berkenaan dengan mengunjungi Pusat Maxis, Rakan Eksklusif Maxis dan pengedar terpilih atau layari laman web www.maxis.comny/broadband.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: