Tuesday, May 31, 2011

Hindari sindrom gangguan usus


Cara pemakanan yang kurang sesuai juga boleh menyebabkan penyakit sistem penghadaman.


PADA 20 Mei 2009, statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan memberitahu bahawa hampir setengah juta rakyat negara ini dikesan menghidap Sindrom Gangguan Usus (IBS) iaitu sejenis penyakit yang memberi kesan buruk kepada sistem penghadaman manusia.

Ini menandakan semakin ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit berkaitan sistem penghadaman badan terutama kanser usus dan ulser peptik sehingga boleh membawa kepada kematian.

Penyakit berkaitan sistem penghadaman ini merupakan penyebab keenam kepada kematian di hospital-hospital kerajaan jika hendak dibandingkan tempat ketujuh sepanjang tahun 2006 hingga 2008.

Untuk pengetahuan, sistem penghadaman adalah salah satu sistem yang terbesar dalam tubuh badan manusia.

Ia bukan sahaja berfungsi menghadamkan makanan dan menyerap nutrien malah ia juga merupakan bahagian utama sistem pertahanan anda.

Tanpa sistem penghadaman yang sihat, anda mungkin akan menderita akibat kekurangan zat makanan dan penyakit yang merbahaya.

Memandangkan sistem penghadaman memainkan peranan yang begitu penting, anda sepatutnya menjaga dan memberikan perhatian yang sewajarnya.

Menurut Pakar Perunding Gastroenterologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Sheikh Anwar Abdullah, sebenarnya masih ramai yang kurang sedar bahawa penyakit yang melibatkan sistem penghadaman badan itu boleh memudaratkan.

“Walaupun ia tidak menduduki senarai lima teratas, namun terdapat peningkatan jumlah mereka yang menghidap penyakit ini.

“Ini juga berlaku kerana kebanyakan cara hidup rakyat negara ini mempengaruhi tahap kesihatan mereka.

“Cara pemakanan yang kurang sesuai juga boleh menyebabkan penyakit sistem penghadaman ini berlaku,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya lagi, sekiranya terdapat tanda-tanda awal seperti sembelit, cirit-birit, pedih hulu hati dan senak perut, pesakit perlulah mendapatkan rawatan segera.

Dalam masa yang sama, sekiranya anda mengalami gejala-gejala seperti perubahan tabiat buang air besar, darah dalam najis, sakit abdomen yang teruk, kehilangan berat badan yang tidak dapat dijelaskan dan pedih hulu hati yang tidak dapat dilegakan oleh ubat juga perlulah segera mendapatkan rawatan daripada pakar-pakar gastroenterologi yang terbaik.

Selain itu, masalah sistem penghadaman juga boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti penyakit radang usus (IBD), penyakit refluks gastroesofagus (GERD), ulser peptik dan helicobacter pylori, kanser kolon, penyakit divertikulum, hemoroid dan ketidakseimbangan mikroflora usus.

Dalam pada itu, menurut Dr. Sheikh Anwar lagi, masalah sistem penghadaman boleh berlaku kepada mana-mana individu tanpa mengira umur dan jantina tetapi yang kerap mengalami masalah ini adalah individu yang berumur antara 20 hingga 40 tahun.

Pada hakikatnya, jelas Dr. Sheikh Anwar, menjaga kesihatan sistem penghadaman bukanlah satu tugasan berat.

“Anda hanya perlu menjaga gaya hidup dan diet pemakanan, kerana kesihatan sistem penghadaman bergantung kepada makanan yang anda makan, gaya hidup yang diamalkan serta kegiatan fizikal yang anda lakukan,’’ tambahnya.

Sementara itu, sempena Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia yang diraikan setiap 29 Mei telah berlangsung Program Perut Sihat Vitagen.

Program yang bermula dari 25 Mei lalu adalah anjuran bersama Badan Penasihat Perut Sihat dan Vitagen di pusat membeli-belah 1 Utama.

Pelbagai program telah dilangsungkan bertujuan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya sistem penghadaman dalam tubuh badan manusia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: