PEMBABITAN gadis berbakat besar dalam dunia seni suara ini sudah mencecah hampir 12 tahun tetapi bintangnya hanya mula menampakkan sinar bergemerlapan dan semakin menjadi sebutan ramai tiga tahun lalu apabila mengambil langkah berani bersaing dalam rancangan realiti TV popular, One In A Million (OIAM).
Bagaimanapun sinar yang diharap berpanjangan seolah-olah hanya seketika sahaja. Diikutkan gadis ini juga memilik gaya, penampilan dan suara yang bagus. Beberapa lagu nyanyiannya juga popular.
“Sejak dulu lagi Shila memang sentiasa berusaha keras untuk sampai ke tahap sekarang. Walaupun mengambil masa agak panjang untuk dikenali berbanding beberapa bakat baru dalam industri, namun dari segi lain Shila kaya pengalaman.
“Pengalaman dalam dunia seni tidak mampu di jual beli dan jarang penyanyi yang bermula seawal Shila bertapak lama dalam bidang ini,” katanya dengan nada penuh bersemangat semasa ditemubual selepas sesi fotografi di Balai Berita.
Kini Shila mempelbagaikan kebolehannya dalam dunia seni apabila mula secara serius mengembangkan bakat dalam mencipta lagu. Mungkin tidak mencipta lagu untuk orang lain tetapi sekurang-kurangnya pada diri sendiri.
Terbaharu, Shila bakal muncul dengan single berjudul Patah Seribu. Lagu itu adalah ciptaan dan lirik yang ditulisnya sendiri. Single yang bakal dilancarkan bersama muzik video ini sudah lama disimpan lama iaitu lebih tiga tahun lalu.
“Patah Seribu mengisahkan perpisahan pasangan kekasih yang terpaksa melepaskan insan disayangi namun reda dengan ketentuan Tuhan.
“Shila sebenarnya peminat filem cinta, daripada filem berbentuk sebegitu Shila mendapat ilham menulis lirik lagu yang puitis dan mengadaptasikan kesedihan itu dalam lagu,” jelasnya.
Gadis ini juga tidak segan silu untuk menimba ilmu penciptaan lagu dan lirik daripada mereka yang berjaya dan berpengalaman.
“Shila memang sudah lama berminat menulis dan mencipta lagu tetapi rasa takut dan kurang keyakinan sering menghantui Shila. Yang paling dirisaukan sama ada lagu Shila diterima peminat dan menepati kehendak dan cita rasa mereka.
“Aubrey Suwito dan rakan artis yang mahir mencipta lagu antaranya Ana Raffali, Aizat dan Awi Rafael banyak memberi galakan dan menjadi sumber inspirasi kepada Shila tampil berani mengetengahkan lagu karya sendiri.” tambahnya.
Tumpuan kepada single terbaru
SELEPAS muncul dengan album Sha-Hila pada 2005 diikuti Bebaskanlah (2009), Shila memendamkan hasrat untuk menghasilkan album terbaharu. Sebaliknya, dia mahu memberi tumpuan terhadap single yang baru dihasilkannya iaitu Patah Seribu.
Walaupun tidak dinyatakan secara terus daripada mulutnya, tetapi memang ada raut kekecewaan ke atas sambutan albumnya itu biarpun dilindungi dengan senyuman manis.
Namun, Shila rasa syukur kerana hasil kerjasama bersama Ning Baizura dan Jaclyn Victor untuk projek khas menerusi album Tiga Suara mendapat maklum balas dan sambutan yang menggalakkan daripada peminat industri hiburan tanah air.
“Kebanyakan peminat menyukai gabungan vokal kami dan menggemari lagu-lagu yang terdapat dalam album ini. Malah cetakan pertama album ini habis dijual dan sehingga kini masih mendapat permintaan menggalakkan sehingga syarikat rakaman mengambil keputusan mengeluarkan cetakan kedua.” ujarnya dengan nada gembira.
Selain sibuk dengan undangan nyanyian yang padat ketika, Shila meminati dunia fesyen dan kini berjinak-jinak mereka koleksi pakaiannya.
“Shila lebih selesa mengenakan pakaian rekaan sendiri kerana menepati cita rasa dan tampil yakin apabila menggayakannya.
“Buat masa ini Shila ada lebih 10 koleksi pakaian rekaan sendiri,” katanya yang anggun menggayakan pakaian rekaan sendiri semasa sesi fotografi ini.
Abah banyak bagi sokongan
KE MANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah ungkapan yang sesuai dikaitkan dengan dua beranak berdarah seni yang bakat mereka sememangnya tidak disangkal lagi.
Shila seperti menyambung legasi bapanya, N.D Lala atau Amir Amzah yang juga penyanyi, pengacara dan pelakon popular sekitar tahun 80-an hingga 90-an yang popular dengan lagu Diari YB dalam bidang seni hiburan.
Menyentuh mengenai sambutan Hari Bapa pada 19 Jun depan, Shila mengakui jarang melakukan kejutan untuk bapa tersayang kerana baginya setiap detik yang dilalui bersama sangat berharga dan dihargainya.
“Abah memang kuat bekerja dan sangat sibuk dengan perniagaannya hinggakan kami sekeluarga perlu membuat janji temu untuk mengajaknya keluar makan atau bercuti bersama.
“Pada usia 50 tahun abah bekerja semakin kuat. Kegigihannya membesarkan kami adik beradik memberi inspirasi kepada Shila untuk terus bekerja keras dalam bidang seni ini,” kata anak sulung daripada empat beradik ini.
Bagi Shila sukar untuk membalas jasa bapanya yang disifatkan sebagai seorang yang sangat mementingkan keluarga.
“Abah sangat memahami minat Shila dan banyak memberi dorongan. Sejak umur enam tahun abah hantar Shila ke kelas muzik dan belajar bermain piano dan gitar. Abah juga hantar Shila ke kelas tarian tradisional dan kontemporari kerana mahu Shila jadi penghibur serba boleh.
“Abah pun banyak membantu dalam penulisan lirik lagu kerana Shila agak lemah dalam penggunaan bahasa yang puitis. Jadi daripada abah Shila banyak belajar” katanya lagi.
Ditanya mengenai keinginan mengikut jejak langkah bapanya dalam dunia lakonan, dia masih belum bersedia dan tidak yakin mampu memberikan mutu lakonan yang baik walaupun ada menerima beberapa tawaran berlakon baru-baru ini.
“Kalau boleh Shila mahu memberikan sesuatu yang berkualiti supaya hasilnya memuaskan hati,” katanya.
Baginya, perjalanan seni yang semakin berkembang mekar ini juga berkat sokongan padu bapanya yang tidak putus-putus memberikan nasihat, tunjuk ajar dan sokongan.
“Abah berpesan pada Shila, satu-satunya perkara yang mampu menggembirakannya apabila melihat kejayaan dan apa yang Shila hajati tercapai,” katanya yang mencipta sejarah dalam dunia hiburan tanah air menjadi penyanyi pertama terpilih membuat persembahan di Konsert Asia Star Session di Festival Voice of Astana sempena acara penutup Sukan Musim Sejuk Asia 2011 di Kazakhstan Januari lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: